Ahad, 8 September 2019 | 5:51pm
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan Program Ziarah Kasih Rahmah di Padang Awam Sungai Lembing, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pengurusan halal masih di bawah JAKIM

KUANTAN: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, menafikan dakwaan ada cadangan memindahkan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diuruskan Halal Industry Development Corporation (HDC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, minggu lalu hanya membuat keputusan untuk mewujudkan sekretariat bersama antara HDC dan JAKIM bagi pembangunan industri halal negara.

“Dakwaan itu tidak benar. Pada mesyuarat membabitkan 13 kementerian terbabit dalam urusan halal, hanya membincangkan mengenai mewujudkan sekretariat bersama supaya dapat membangunkan industri dan integriti halal negara.

“JAKIM masih lagi berperanan dalam pengeluaran sijil halal. Kita lihat industri halal di negara ini ada sedikit kelemahan. Jadi, dengan adanya sekretariat bersama ini, kita dapat bersama-sama membangunkan industri halal negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Ziarah Kasih Rahmah di Padang Awam Sungai Lembing, di sini, hari ini.

Laporan sebelum ini menyebut ada cadangan meletakkan Bahagian Pengurusan Halal JAKIM di bawah HDC supaya semua urusan berkaitan halal di negara ini diuruskan satu badan.

Fuziah berkata, pensijilan halal JAKIM diiktiraf di 48 negara setakat ini dan menjadi keperluan negara untuk terus membangunkan industri halal.

Ditanya produk gula-gula keluaran China, White Rabbit, yang berada di pasaran, beliau berkata, produk terbabit tidak mendapat pensijilan halal JAKIM.

“Syarikat pengeluaran gula-gula itu tidak membuat sebarang permohonan kepada JAKIM bagi mendapatkan sijil halal.

“Jadi, JAKIM akan membuat siasatan berhubung isu ini kerana ia sudah ditularkan di media sosial dan membuatkan umat Islam di negara ini berada dalam dilema,” katanya.

Fuziah berkata, bagi mengesahkan mengenai dakwaan yang tular di media sosial berhubung terdapat gelatin lemak babi dalam kandungan gula-gula itu, pihaknya perlu melakukan kajian makmal jika terdapat aduan.

Mengulas penahanan 22 pengikut ajaran Syiah di sebuah markas, Hauzah ar-Ridha di Taman Sri Gombak, Gombak, kelmarin, Fuziah berkata, penahanan mereka oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Hal ehwal agama Islam negeri di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri, jadi apa yang dilakukan JAIS itu mengikut SOP ditetapkan mereka.

“Pada 2013, Selangor menyatakan ajaran Syiah tidak mengikut ajaran Islam sebenar dan terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Penahanan itu dibuat mengikut bidang kuasa mereka dan saya sudah dimaklumkan mengenai tangkapan ini,” katanya.

Sementara itu, pada majlis itu, Fuziah turut mengumumkan tabung kutipan pembangunan semula perpustakaan Sungai Lembing yang hangus dalam kebakaran pada 31 Ogos lalu, akan dilancarkan pada minggu depan.

Beliau berkata, tabung diletakkan di bawah Yayasan Wakaf Malaysia itu akan berperanan mengutip sumbangan orang ramai dan pengecualian cukai diberikan kepada mereka yang menyumbang.

“Perpustakaan Sungai Lembing banyak menyimpan bahan sejarah. Malangnya, semua lembaran sejarah turut musnah dan satu kerugian kepada Pahang.

“Lebih 100 tahun bahan sejarah ini tersimpan di sini. Jadi, kita akan bangunkan semula perpustakaan ini dan akan cuba mengutip semula bahan sejarah yang tersimpan di tempat lain.

“Yayasan Wakaf Malaysia berperanan sebagai pemegang amanah untuk mengutip dana dan membangunkan semula warisan Sungai Lembing ini,” katanya.

Berita Harian X