Ahad, 8 September 2019 | 9:13am
- Foto BERNAMA

3 kawasan mencatat IPU sangat tidak sihat

KUCHING: Tiga kawasan di Sarawak hari ini mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, meningkat satu kawasan berbanding dua, semalam.

Kawasan terbaru mengalami kesan teruk fenomena jerebu adalah Sri Aman, yang mencatat IPU 229 pada jam 8 pagi ini.

Kuching dan Samarahan terus mencatat IPU sangat tidak sihat, masing-masing 232 dan 213.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata enam lagi Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatat IPU tidak sihat.

Stesen terbabit adalah Sarikei yang mencatat IPU 164, Miri (149), S K Baram (107), ILP Miri (137), Sibu (161) dan Mukah (101).


Keadaan sekitar bandaraya Kuching yang berjerubu, semalam. - Foto L.Manimaran

Sementara itu, empat stesen mencatat bacaan pada tahap sederhana iaitu Bintulu (84), Samalaju (65), Kapit (69) dan Limbang (77).

“Jumlah tompok panas yang dikesan di Sarawak pula terdapat enam, Kalimantan sebanyak 1,041 dan Sumatera sebanyak 134.

“Angin yang terus bertiup dari arah Kalimantan, Indonesia, memburukkan lagi keadaan jerebu di Sarawak,” katanya.

Berita Harian X