Sabtu, 7 September 2019 | 5:35pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) melihat robot yang dikendalikan oleh Ahmad Syahfril Izwan semasa hadir melancarkan Rumah Ilmu Adun Telok Air Tawar, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam

'Utamakan barangan buatan Malaysia'

BUTTERWORTH: Pengguna disaran mengutamakan barangan buatan Malaysia berbanding hanya membeli produk pihak tertentu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan segelintir pihak memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera dan bertukar kepada mengutamakan produk Muslim, adalah dalam tujuan sama.

“Mereka ini berubah-ubah, bermula sebagai boikot. Selepas diberi jawapan rasional kenapa tak perlu ada boikot, skripnya itu diubah kepada mengutamakan produk Muslim.

“Fokus kita ialah untuk memperoleh kehidupan harmoni dan memakmurkan negara, maka kita perlu dukungan semua pihak.

“Dalam konteks negara ini, apa yang patut kita dahulukan adalah kempen beli barangan buatan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Rumah Ilmu Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Air Tawar di sini, hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, tindakan memboikot barangan bukan Bumiputera tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan memberi kesan, sebaliknya hanya menimbulkan kemarahan.

Kenyataan itu susulan gerakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kempen mengutamakan pembelian produk Islam, di samping menggesa masyarakat Melayu memboikot barangan serta perkhidmatan bukan Islam.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kertas kerja membabitkan pelaksanaan subsidi petrol bersasar menunggu giliran untuk dibentangkan di Kabinet.

“Kertas kerja sudah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada masa terdekat,” katanya.

Berita Harian X