Sabtu, 7 September 2019 | 3:15pm
Guan Eng berkata, tindakan golongan yang dianggap sebagai cetek pemikiran itu dilihat mampu meretakkan hubungan masyarakat berbilang kaum. - NSTP/Danial Saad

Tindakan boikot hanya memecah belahkan rakyat

ALOR SETAR: Cadangan memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera disifatkan tidak wajar kerana tindakan itu hanya akan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tindakan golongan yang dianggap sebagai cetek pemikiran itu dilihat mampu meretakkan hubungan masyarakat berbilang kaum.

“Mana-mana pihak seharusnya tidak menganjurkan apa juga program yang boleh memecah-belah masyarakat, sebaliknya semua harus bersatu-padu supaya Malaysia menjadi negara berjaya.

“Jadi, cadangan pihak tertentu untuk boikot-memboikot adalah tidak wajar kerana sekiranya kita boikot, akan berlaku pecah-belah dalam kalangan rakyat,” katanya ketika berucap sempena perasmian Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Ke-36 di sini, hari ini.

Pesta bermula semalam hingga esok itu, diadakan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini iaitu di Pertubuhan Kebajikan San Sheng, Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Stadium Sultan Abdul Halim.

Guan Eng berkata, jika berlaku perang dagangan dalam negara akibat tindakan boikot, ia hanya akan mengakibatkan kerugian, sekali gus apa yang diusahakan kerajaan tidak berhasil.

Katanya, kita seharusnya mempromosikan budaya multilateralisme dalam dagangan dan bukan unilateralisme yang hanya akan merugikan negara.

“Jika kita mempromosikan unilateralisme, apa yang berlaku adalah peperangan perdagangan yang boleh dilihat membawa kerugian kepada negara kecil dan besar.

“Itu sebabnya kita hendak lihat bahawa kita ada perdagangan bebas dan adil, jangan ada perang perdagangan seperti yang kita lihat sekarang,” katanya.

Pada 4 September lalu, Kabinet pada mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersetuju tindakan memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah tidak wajar.

Berita Harian X