Sabtu, 7 September 2019 | 1:20pm

Bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan - Anwar

BATU PAHAT: Penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang baik harus dimulakan pada peringkat pimpinan merangkumi wakil rakyat dan penjawat awam di negara ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bahasa Melayu sepatutnya sudah diangkat ke kedudukan sepatutnya dalam tempoh enam dekad ini.

“Tempoh lebih 60 tahun negara merdeka harus mematangkan kita. Kita tidak boleh berbahas lagi soal bahasa daripada suku kaum.

“Tugas kita sekarang adalah memartabatkan bahasa Melayu, mengangkat kedudukannya. Ini tanggungjawab pimpinan dan sebab itu kita nak pastikan penggunaan bahasa Melayu bukan untuk bahasa pengantar semata-mata.

“Sebagai contoh, kita perlu tingkatkan mutu penggunaan bahasa dalam kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada seminar ‘Negara Bangsa: Bahasa Melayu - Identiti Negara’ di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Aminolhuda Hassan dan Penasihat Amanah Nadi Bangsa, Datuk Dr Hasan Bahrom.

Anwar berkata, setiap wakil rakyat dan penjawat awam perlu memberi penekanan terhadap penggunaan bahasa Melayu yang baik, selain turut menjadi antara komitmen kerajaan.

“Wakil rakyat baik di Parlimen mahu pun Dewan Undangan Negeri tanpa mengira Melayu, Cina, India, kerajaan Pakatan Harapan atau pembangkang mesti memastikan penggunaan bahasa Melayu dengan baik, terutama di Dewan.

“Kalau tidak baik, mereka perlu hadir kursus bahasa yang dikendalikan oleh kerajaan,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pernah memberi cadangan penggunaan bahasa Melayu yang betul di Dewan Rakyat.

“Dulu saya cadangkan supaya Parlimen guna bahasa Melayu yang baik kerana ia ditonton rakyat.

“Pimpinan politik kini ideanya berkecamuk, kadang-kadang ada bahasa lucah, dengan bahasa pasar yang tidak boleh digunakan di tempat sedemikian, maka saya buat teguran supaya tidak lari daripada komitmen kerajaan,” katanya.

Anwar berucap ketika Perasmian seminar ‘Negara Bangsa: Bahasa Melayu - Identiti Negara’ di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM di Batu Pahat, hari ini. - NSTP/Adi Safri
Berita Harian X