Sabtu, 7 September 2019 | 8:32am

Kuching catat IPU sangat tidak sihat

KUCHING : Kualiti udara di bandar raya Kuching pagi ini mencatat paras sangat tidak sihat dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 204 pada jam 8 pagi.

Tinjauan mendapati jerebu tebal menyelubungi ruang udara bandar raya ini dengan jarak penglihatan dianggarkan hanya 1 kilometer.

Berdasarkan laporan keadaan semasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), tujuh stesen lagi mencatat IPU tidak sihat, berkurangan daripada 10 stesen yang dicatatkan pada jam 7 pagi tadi.

Tujuh stesen terbabit ialah Samarahan yang mencatat IPU 186, Sri Aman (190), Sarikei (138), Mukah (106), Miri (183), SK Kuala Baram 2 (108) dan ILP Miri (110).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keadaan jerebu yang semakin serius hari ini berpunca pergerakan angin dari wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

Keadaan jerebu yang melanda Kuching pagi ini. - Foto Mohd Roji Kawi
Berita Harian X