Jumaat, 6 September 2019 | 4:46pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Khadijah Iskandar (dua dari kanan) hadir pada Festival Durian Agrobank 2019 di Menara Agrobank, Kuala Lumpur. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Agrobank sasar RM1.2 bilion biaya agroprenuer

KUALA LUMPUR: Agrobank sasar peruntukan sehingga RM1.2 bilion bagi pembiayaan usahawan termasuk dalam industri durian bagi tahun ini.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, jumlah pembiayaan itu akan ditambah sekiranya ada permintaan daripada usahawan pertanian dalam industri berkaitan.

“Sejak tahun 2004 hingga Ogos tahun ini, seramai 339 agropreneur berasaskan durian mendapat pembiayaan daripada Agrobank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM90 juta bagi industri durian saja,” katanya berucap pada Festival Durian Agrobank di perkarangan Menara Agrobank, di sini, hari ini.

Festival sempena ulang tahun ke-50 Agrobank itu dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. Turut hadir timbalannya, Sim Sze Tzin dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Khadijah berkata, sebagai institusi perbankan Islam yang menawarkan pembiayaan sektor pertanian, Agrobank menggalakkan ramai agroprenuer menceburi industri durian memandangkan raja buah itu kini menjadi sumber kekayaan baru negara yang boleh diterokai.

“Sekiranya anda memerlukan bantuan pembiayaan membeli tanah untuk tanaman durian, kita ada produk Hartani-i untuk membolehkan mereka membeli tanah pertanian yang akan diusahakan.

“Kami juga menggalakkan agroprenuer meluaskan empayar perniagaan mereka menerusi pembiayaan perdagangan selain menyediakan solusi perkhidmatan kewangan bagi perniagaan durian,” katanya.

Khadijah berkata, festival berkonsepkan ‘Durian Sebagai Perniagaan’ bukan saja membolehkan orang ramai menikmati kelazatan raja buah tetapi mengenengahkan agroprenuer durian untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

Ia juga sebahagian daripada usaha Agrobank untuk menyediakan peluang jaringan bertujuan meluaskan jaringan hubungan perniagaan selain menggalakkan lebih ramai agroprenuer menceburi industri berkenaan.

Berita Harian X