Jumaat, 6 September 2019 | 12:04am
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ucapan penutupnya yang bertajuk 'Towards Zero Tolerance for Corruption' pada 'Malaysia Anti-Corruption Forum' di ibu kota. - Foto BERNAMA
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ucapan penutupnya yang bertajuk 'Towards Zero Tolerance for Corruption' pada 'Malaysia Anti-Corruption Forum' di ibu kota. - Foto BERNAMA

Rasuah beransur-ansur kurang jika kepemimpinan bersih

KUALA LUMPUR: Rasuah secara beransur-ansur boleh berkurangan apabila kepemimpinan teras sesebuah negara bersih, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, kepemimpinan melalui teladan dalam kalangan pegawai tertinggi kerajaan penting dalam usaha membina negara yang rakyat tidak mengamalkan budaya rasuah.

“Pepatah menyatakan ‘ikan akan membusuk bermula dari kepalanya’ yang bermaksud baik buruknya organisasi itu bergantung kepada orang yang mengepalainya. Pemimpin mesti komited kepada integriti dan mewujudkan akauntabiliti dan antirasuah, ” katanya ketika menyampaikan ucaptama penutupan Forum Anti Rasuah Malaysia bertemakan Memahami dan Mengatasi Masalah Terbesar Dunia di sini, hari ini.

Beliau berkata, data baru-baru ini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bahawa 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan kerana rasuah dari 2014 hingga Jun 2019 ialah penjawat awam dan ini sangat membimbangkan.

Saifuddin berkata, kajian oleh SPRM juga mendapati bahawa 22.1 peratus daripada responden dalam perkhidmatan awam menyatakan mereka sanggup menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa atau kedudukan.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan segera bagi kerajaan untuk menggerakkan usaha membanteras rasuah,” katanya.

Bagaimanapun, perjuangan memerangi rasuah tidak dapat dilancarkan melalui dasar-dasar, kempen, undang-undang dan langkah-langkah punitif yang dikenakan oleh kerajaan sahaja tetapi mesti membabitkan setiap anggota masyarakat.

“Saya menggesa anda semua untuk terus mempertanggungjawab kami. Sentiasa berwaspada dan tidak mudah termakan amalan rasuah. Melaporkan apa-apa perbuatan rasuah kepada SPRM tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan tegas dalam komitmennya untuk memerangi rasuah dengan pelbagai langkah diambil oleh kerajaan dan SPRM untuk menghapuskan rasuah di negara ini.

Beliau berkata, usaha itu mula menampakkan hasil apabila Malaysia memperbaiki kedudukannya dalam “Transparency International’s Corruption Perception Index, Reporters Without Borders’ World Press Freedom Index” dan melonjak sembilan kedudukan ke tempat ke-15 daripada 190 negara dalam World Bank’s Doing Business 2019 Report.

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang mencerminkan aspirasi rakyat untuk mewujudkan negara bebas rasuah yang memupuk ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Forum Anti-Rasuah Malaysia platform untuk mengumpulkan semua warga Malaysia, pihak berkuasa kerajaan, media dan sektor swasta untuk berbincang, bertukar idea dan merumuskan cadangan utama untuk dikemukakan kepada SPRM. – BERNAMA

Berita Harian X