Khamis, 5 September 2019 | 6:26pm
Presiden Kingsley Strategic Institute for Asia Pasific (KSI), Tan Sri Dr Michael Yeoh. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Garis kemiskinan sedia ada tidak relevan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menaikkan garis kemiskinan kepada kadar yang lebih realistik berbanding RM980 ketika ini kerana tidak mencerminkan pendapatan median sebenar diperlukan sesebuah keluarga.

Presiden Kingsley Strategic Institute for Asia Pasific (KSI), Tan Sri Dr Michael Yeoh, berkata garis kemiskinan diguna pakai ketika ini tidak lagi relevan dan tidak menggambarkan keadaan sebenar dihadapi keluarga terutama golongan B40.

“Kerajaan tidak perlu berasa bimbang jika pengiraan kadar garis kemiskinan dikaji semula, malah jika meningkat sehingga 20 peratus sekali pun, ia sebenarnya dapat membantu kerajaan melaksanakan program serta dasar yang lebih tepat.

“Gaji wajar yang dicadang oleh Bank Negara Malaysia pada kadar RM2,700 adalah penilaian yang lebih realistik dan sudah tiba masanya kita kaji semula garis kemiskinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbincangan meja bulat mengenai kemiskinan di Malaysia berdasarkan laporan wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

Perbincangan itu turut disertai Felo Utama Institut Kebangsaan Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Denison Jayasooria; Naib Canselor Universiti Binary, Prof Dr Sulochana Nair dan wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.

Yeoh turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kemiskinan dan Ketidakseimbangan bagi menjalankan kajian yang menyeluruh serta komprehensif mengenai kemiskinan negara.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan pasukan gerak khas untuk mengkaji semula indeks kemiskinan dan penakrifan garis kemiskinan negara,” katanya.

Sementara itu, Marianne berkata, garis kemiskinan yang diguna pakai wajar dinilai semula kerana kadar sedia ada ditetapkan ketika Malaysia masih sebuah negara berpendapatan rendah.

“Malaysia kini adalah negara membangun dan menuju sebuah negara maju. Oleh itu, Malaysia perlu mengubah garis kemiskinan supaya ia lebih relevan.

“Malaysia juga perlu melihat kembali semua dasar terutama dalam membasmi kemiskinan kerana zaman sudah berubah setiap dasar yang dirancang perlu merangkumi semua perkara,” katanya.

Berita Harian X