Khamis, 5 September 2019 | 1:29pm
Syarat dan kelayakan berhubung Sijil Sokongan Luar Negara oleh Jabatan Pendidikan Tinggi seperti yang tertera di laman web.

Mekanisme terbaru bakal diperkenalkan elak pemalsuan SSLN

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) akan memperkenalkan mekanisme terbaru dengan ciri kawalan dan keselamatan dipertingkatkan bagi mengelakkan pemalsuan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) pada masa depan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Dr Siti Hamisah Tapsir, berkata mekanisme itu juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pelajar bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara, benar-benar memenuhi kelayakan akademik yang diperlukan.

“Pada awal tahun ini, JPT melakukan penambahbaikan dengan memperhalusi proses permohonan dan pengeluaran SSLN, melalui beberapa siri perbincangan bersama badan profesional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu adalah susulan pendedahan BH melaporkan pemalsuan SSLN yang dijual dengan harga hingga RM8,500 untuk membolehkan pelajar negara ini melanjutkan pengajian ke universiti asing, termasuk dalam bidang perubatan di Russia.

Mengulas lanjut, Siti Hamisah berkata, pihaknya memandang serius isu penjualan dan pengeluaran SSLN palsu berikutan sijil itu sepatut hanya diberikan kepada mereka yang menepati syarat kelayakan minimum.

“JPT melalui Bahagian Education Malaysia bertanggungjawab mengeluarkan SSLN secara percuma kepada pelajar yang memenuhi syarat minimum tanpa membabitkan pihak luar seperti ejen dan sebagainya.

“Syarat kelayakan minimum SSLN pula adalah berdasarkan syarat minimum yang ditetapkan badan profesional di negara ini,” katanya.

Namun, beliau berkata, isu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti kursus perubatan di luar negara melalui pembiayaan sendiri tanpa memperoleh SSLN daripada Kementerian Pendidikan, adalah di luar kawalan jabatan itu berikutan ia bergantung pada syarat kelayakan universiti terbabit.

Sebanyak 36,044 SSLN sudah dikeluarkan sejak ia mula diperkenalkan pada 2003 hingga tahun lalu.

Sejumlah 566 permohonan SSLN pula diterima dan diproses sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

SSLN diperkenal untuk memastikan kualiti pelajar yang ingin melanjutkan pelajar ke luar negara, benar-benar layak dari segi akademik.

Berita Harian X