Rabu, 4 September 2019 | 4:53pm
Pantai Cherating yang suatu ketika dulu popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara kini lesu sejak lebih 10 tahun lalu. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Cherating makin lesu

KUANTAN: Pantai Cherating yang suatu ketika dulu popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara kerana keindahan semula jadi dan kegiatan rekreasi air, lesu sejak lebih 10 tahun lalu.

Umum mengetahui, Cherating sebelum ini terkenal dengan aktiviti luncur air yang menggamit kedatangan pelancong luar, tetapi kini ia seperti dipandang sepi kerana tiada promosi.

Keadaan itu juga menyebabkan peniaga kecil tempatan dalam kalangan orang kampung turut menerima tempias kehilangan pendapatan tambahan.

Tinjauan BH di sepanjang pantai Cherating mendapati lokasi itu sunyi dan tidak ada aktiviti rekreasi dilakukan.

Ada pengusaha chalet yang memperoleh tidak sampai 50 tempahan sebulan sehingga menyukarkan mereka bertahan.

Tidak ramai pelancong kelihatan di sekitar pantai seperti kawasan pantai lain yang menjadi tumpuan pengunjung.

Kafe dan kedai makan juga kelihatan sunyi, menyebabkan ada pelancong asing terpaksa berjalan keluar kira-kira satu kilometer ke Jalan Kuantan-Kemaman untuk mencari gerai.


Pengusaha chalet, peniaga mengeluh perniagaan makin lesu. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Difahamkan, kebanyakan peniaga kafe dan bar di kawasan terbabit mula beroperasi lewat petang menyebabkan pelancong sukar mencari gerai makanan.

Jalan Kampung Cherating Lama yang menjadi tumpuan dan menempatkan resort serta chalet juga kelihatan lengang.

Keadaan sejak 10 tahun lalu itu menyebabkan kebanyakan chalet dan hotel bajet tidak mampu bertahan lama, lalu mengambil langkah menamatkan operasi.

Pengurus Ranting Beach Resort, Jacob Daniel, 26, mengakui kebanyakan pengusaha chalet terpaksa melakukan pelbagai promosi, termasuk mengurangkan harga penginapan bagi menarik pelancong.

“Situasi sekarang agak sukar, berbanding 10 tahun dulu selepas banyak pulau dibuka menyebabkan ramai pelancong lari ke pulau.

“Kebanyakan pengusaha chalet di sini mengharapkan cuti sekolah dan musim monsun kerana ketika itu memang ada peningkatan pelancong. Tetapi, pada hari biasa, memang susah nak dapat tempahan,” katanya yang mengusahakan resort milik keluarganya.

Kekurangan tempahan menyebabkan dia sukar mempertahankan perniagaan itu yang mengandungi 30 chalet kayu dibina pada tahun 1990-an.


Kafe dan kedai makan juga kelihatan sunyi, menyebabkan ada pelancong asing terpaksa berjalan keluar kira-kira satu kilometer ke Jalan Kuantan-Kemaman untuk mencari gerai. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Tinjauan BH mendapati restoran dan resort lengang tanpa kehadiran pengunjung di Pantai Cherating, Kuantan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Katanya, dengan kehadiran pelancong yang kurang dengan tempahan tidak sampai 50 bilik sebulan pada hari biasa menyebabkan sedikit sukar untuk diuruskan.

“Saya harapkan musim panas di Eropah dan monsun di sini kerana ketika itu agak ramai pelancong datang. Kebanyakan pelancong yang datang ke sini dari benua Eropah dan Asia Barat. Jika pelancong tempatan, mereka hanya datang pada musim cuti sekolah.

“Saya bernasib baik kerana resort ini di tepi pantai dan mengadap laut. Itu kelebihan yang menjadi pilihan pelancong, tetapi bagi resort yang di seberang jalan dan tiada pemandangan laut, agak susah untuk mendapat tempahan kecuali waktu puncak,” katanya.

Pengurus Kam’s Surf Shack yang mahu dikenali sebagai Gabi, pula berkata perniagaan perkhidmatan luncur air yang disediakannya hanya mendapat perhatian ketika musim monsun.

“Saya tak boleh mengharapkan kepada aktiviti luncur air saja, sebab itu saya buka kafe dan aktiviti sukan pantai lain untuk tarik perhatian pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya.

Membuka perniagaan itu sejak 2011, Gabi berkata, suatu ketika dulu Pantai Cherating memang menjadi perhatian ramai pelancong, terutama ketika musim monsun.

“Sejak ada penganjuran tiga aktiviti sukan air di sini, ada sedikit sambutan dan peningkatan jumlah pelancong, berbanding sebelum ini.


Cherating sebelum ini terkenal dengan aktiviti luncur air yang menggamit kedatangan pelancong luar, tetapi kini ia seperti dipandang sepi kerana tiada promosi. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

“Sekarang, keadaannya tidak seperti dulu ketika ia popular dan menjadi perhatian pelancong,” katanya.

Meskipun sudah empat tahun mengusahakan kafe dan bar, Don’t Tell Mama Eco Bar, pemilik yang mahu dikenali sebagai Abun mengakui hampir tiada pelanggan pada hari biasa.

Kemerosotan industri pelancongan Cherating turut dirasai penduduk tempatan yang melihat pusat tarikan pelancong itu seakan-akan mati.

Rosnani Abd Rahman, 39, berkata situasi itu dirasai sudah sekian lama yang dilihat berpunca daripada kurang promosi.

“Sebagai penduduk tempatan memang terasa sebab dulu kawasan ini memang ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya harap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu untuk pulihkan kembali Cherating kerana kawasan ini masih mampu menarik pelancong dan dikenali,” katanya.

Berita Harian X