Rabu, 4 September 2019 | 11:25am

Jho Low kata 'Bos' akan jaga - Amhari

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low memberikan jaminan kepada Ketua Setiausaha Sulit dan Pegawai Khas Datuk Seri Najib Razak, yang ‘bos akan jaga’ mereka berhubung pembukaan akaun di luar negara bagi tujuan politik.

Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, memberitahu Mahkamah Tinggi, Jho Low memberikan jaminan itu kepadanya dan Allahyarham Datuk Azlin Alias (ketua setiausaha sulit Najib ketika itu).

Amhari Efendi berkata, beliau tahu yang ‘Bos’ dimaksudkan Jho Low adalah Najib.

Katanya, Jho Low ada menyatakan bahawa sekiranya ada persoalan yang timbul berhubung akaun Najib, bekas perdana menteri itu akan melindungi beliau dan Azlin.

Menceritakan lanjut mengenai arahan untuk membuka akaun di luar negara, saksi kelapan pendakwaan itu, berkata beliau dan Azlin menerima arahan itu pada satu perjumpaan pada tahun 2012.

Amhari Afendi berkata, mereka mengetahui bahawa sebelum arahan diterima dalam perjumpaan itu, Jho Low mengadakan pertemuan dengan Najib terlebih dahulu.

Katanya, mereka juga sudah mengetahui berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ia diperkatakan umum.

“Kami berdua takut kerana kemungkinan akaun itu akan digunakan sebagai akaun ‘wang haram’ bagi tujuan menyimpan dana politik Najib untuk menghadapi PRU (Pilihan Raya Umum ke-13).

“Saya ada terfikir sekiranya akaun ini untuk tujuan murni, kenapa ia (akaun) perlu dibuka atas nama saya dan dibuat di luar negara selain diuruskan Jho Low?” katanya.

“Walaupun kami diberitahu akaun itu sebagai persediaan tetapi saya tidak mahu membabitkan diri sekiranya digunakan untuk tujuan dana politik,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Amhari Efendi berkata, beliau kemudian merujuk perkara itu kepada Azlin dan mereka berbincang bersama Jho Low kerana Azlin juga tidak selesa dengan apa yang sedang berlaku.

Beliau berkata, Jho Low bagaimanapun memberitahu dan menyakinkan mereka berdua bahawa apa yang dilakukan ini berada pada landasan, mengikut proses dan dokumen yang betul.

Katanya, Azlin hanya berdiam diri ketika itu.

“Selepas itu Jho Low meninggalkan kami dan kami berbincang berhubung pembukaan akaun dan membuat keputusan untuk mengikut nasihat Jho Low berhubung perkara itu... saya menjangkakan perkara itu terpaksa dipersetujui kerana ia membabitkan perkara sulit

“Kalau kami menolak, kami takut ada ancaman untuk kami, keluarga dan kerjaya kami,” katanya.

Pada pertemuan akhir antara mereka bertiga, Amhari Efendi berkata, Jho Low mendesak dan menyakinkan mereka bahawa semua sudah diatur dengan baik dan selamat.

Beliau berkata, akhirnya Azlin bersetuju untuk membuka akaun di luar negara dan beliau (saksi) terpaksa bersetuju dan mengikut keputusan itu.

Selepas kata putus dibuat dan diberitahu kepada Jho Low, saksi itu berkata beliau kemudian meninggalkan perjumpaan itu.

“Datuk Azlin memberitahu saya, kami mesti dan terpaksa mengikut arahannya (Jho Low) jika tidak kami mungkin kehilangan pekerjaan ...Datuk Azlin juga memberitahu jika tidak ikut ia boleh menjadi ancaman kepada kami dan keluarga.

“Ini kerana hanya kami saja mengetahui hal berkaitan pembukaan akaun luar negara tetapi ingkar dengan arahan itu,” katanya.

Amhari Efendi berkata, Jho Low mengawal dan menyusun semua proses pembukaan akaun di Singapura dengan membawanya bersama Azlin ke negara itu.

Beliau bagaimanapun tidak mengingati tarikh perjumpaan itu yang diadakan di sebuah bilik hotel dengan dihadiri wakil Bank BSI Singapore, Yvonne Seah Yew Foong.

SAKSI Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Afendi Nazaruddin (dua dari kanan) hadir bagi memberi keterangan pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram oleh membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias.
SAKSI Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Afendi Nazaruddin (dua dari kanan) hadir bagi memberi keterangan pada Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram oleh membabitkan dana 1MDB Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/Aswadi Alias.
Berita Harian X