Selasa, 3 September 2019 | 9:20pm
Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin.
Bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin.

Tertekan mengenai duit 1MDB, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib hempas fail - Saksi

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias, pernah kelihatan begitu tertekan dan menghempaskan fail ke atas meja sambil meninggikan suara dan menyebut, ‘Duit 1MDB lah bro!’.

Menurut bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, kejadian yang tidak diduga itu berlaku pada sekitar Januari atau Februari 2015, selepas Allahyarham Azlin bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata, ketika itu beliau sedang menunggu Allahyarham Azlin di pejabat.

Amhari Afendi tidak pernah melupakan insiden itu kerana sepanjang mengenalinya, arwah seorang yang tenang, sopan dan tidak pernah meninggikan suara.

“Wang yang dimaksudkan Datuk Azlin ketika itu kemungkinan besar merujuk kepada kemasukan wang AS$680 juta atau RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib dan ia bukan sahaja terhad kepada isu anak tirinya iaitu Riza Aziz.

“Saya percaya reaksinya berpunca daripada pendedahan media mengenai 1MDB (1Malaysia Development Berhad) seperti isu usaha sama syarikat Petrosaudi, perbelanjaan mewah Jho Low (Low Taek Jho) menggunakan dana 1MDB, pembelian hartanah mewah dan sumber dana filem oleh Riza dan kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun meragukan.

“Berikutan isu yang heboh pada awal 2015, Datuk Azlin perlu banyak menangani isu yang membabitkan Najib kerana beliau paling mahir dan tahu banyak mengenai 1MDB.

“Ia semakin meruncing kerana pendedahan itu disertakan bukti sokongan seperti gambar, dokumen e-mel, transaksi bank dan pindahan wang berhubung penyelewengan dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Jho Low,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata, beliau agak terkejut apabila baru-baru ini membaca laporan akhbar yang menyebut Allahyarham Azlin mengaturkan pertemuan antara Ambank dengan Najib di kediamannya di Jalan Duta kerana ia tidak menggambarkan keseluruhan kejadian.

Beliau berkata, setiap pertemuan sulit atau perjumpaan tidak formal yang berlaku di rumah Najib memerlukan kelulusan Najib sendiri kerana membabitkan masa, jadual dan akses ke kediaman peribadinya.

“Adalah mustahil dan tidak logik untuk beliau (Azlin) memandai-mandai mengaturkan pertemuan antara Najib dengan pihak Ambank di atas inisiatif sendiri tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan bekas perdana menteri itu.

“Saya percaya Datuk Azlin sudah merujuk perkara ini kepada Najib bagi mendapatkan persetujuan beliau,” katanya.

Sementara itu, Amhari Afendi, berkata Jho Low akan menyediakan jawapan dan mengarahkan Allahyarham Azlin melaksanakan ‘damage control’ (mengawal kerosakan) bagi meredakan isu penyelewengan dana 1MDB yang agresif diperkatakan di antara penghujung 2014 dan awal 2015.

Beliau berkata, antara dokumen ‘damage control’ yang disimpan beliau ialah surat daripada Royal Embassy of Saudi Arabia Kuala Lumpur, surat daripada Helvetica Wealth Management Partners AG dan surat daripada bank J P Morgan (Suisse) SA.

Saksi itu berkata, beberapa dokumen sulit pelan tindakan dan nota maklumat serta senarai semak dilampirkan bersama lima keping surat itu disediakan dan diserahkan oleh Jho Low kepadanya dan Allahyarham Azlin.

“Dokumen itu adalah untuk digunakan sebagai jawapan dan jaminan bagi menutup kes jika terdapat siasatan,” katanya.

Berita Harian X