Selasa, 3 September 2019 | 6:45pm
KEADAAN jerebu di sekitar Jalan Kampung Johan Setia, Klang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 4 petang adalah 148 paras tidak sihat. - Foto Faiz Anuar

Johan Setia, Seri Manjung catat bacaan IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR: Johan Setia, Klang di Selangor dan Seri Manjung, Perak berada pada skala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), petang ini.

Johan Setia mula berada dalam tahap tidak sihat sejak jam 11 malam tadi, dengan bacaan IPU 198, bagaimanapun bacaan itu berkurangan kepada catatan IPU 151 pada jam 2 petang tadi.

Seri Manjung pula berada dalam tahap tidak sihat dan mencatatkan IPU 104 pada jam 7 pagi tadi dan meningkat ke IPU 114 pada jam 2 petang.

Data keseluruhan menunjukkan keadaan semasa jerebu seluruh Malaysia dengan lapan kawasan berada dalam tahap baik, 58 kawasan dalam tahap sederhana dan dua kawasan berada dalam tahap tidak sihat.

Pengarah JAS Selangor, Shafee Yasin, berkata IPU tinggi di Johan Setia hari ini turut dipengaruhi amalan pembakaran terbuka oleh petani di sekitar kawasan itu untuk tujuan pertanian, menyebabkan asapnya bercampur dengan asap pembakaran di Indonesia.


KEADAAN kualiti udara di Pulau Pinang ketika dirakam sekitar Butterworth jam 4 petang tadi kelihatan kabur dipercayai jerebu. - Foto Rosli Ahmad

Katanya, keadaan jerebu meningkat terutama pada sebelah malam berikutan pembakaran dibuat ketika waktu itu.

“Jika diikutkan, kadar jerebu yang berlaku di Johan Setia itu sama saja dengan tempat lain, namun disebabkan kesan pembakaran daripada kerja pertanian, ia menambahkan lagi peningkatan IPU di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Bacaan IPU tidak sihat boleh membahayakan orang ramai yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.

IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan berbahaya jika melebihi 300.

Orang awam boleh merujuk laman sesawang JAS di http://apims.doe.gov.my/v2/ atau memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Berita Harian X