Selasa, 3 September 2019 | 2:55pm
KETUA Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Antarabangsa Sejarah dan Kebudayaan 2019 (ICHCC-SEA) di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan dan Alam Melayu (ISTAC), Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Promosi, bukan boikot - Anwar

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kempen memboikot produk bukan Islam adalah perbuatan yang tidak sihat dan boleh menimbulkan perbalahan antara kaum.

Sebaliknya, Presiden PKR itu berkata kempen mempromosi produk halal boleh diterima tetapi tidak membabitkan boikot produk tertentu.

"Kalau tujuannya mempromosi produk halal, itu boleh diterima. Tetapi tindakan sebegini (boikot) boleh menimbulkan perbalahan dan membabitkan isu antara kaum. Ia tidak sihat.

"Konotasi perkauman yang digunakan (dalam kempen) pada saya tidak sihat dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Sebagai orang Islam, penting untuk menghasilkan produk Muslim yang baik dan diterima oleh semua, tetapi ada juga produk yang diperlukan orang Islam tapi dihasilkan oleh orang Cina jadi itu dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Persidangan Antarabangsa Sejarah dan Kebudayaan 2019 (ICHCC-SEA) di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan dan Alam Melayu (ISTAC), Kuala Lumpur, di sini.

Beliau diminta mengulas gerakan menerusi media sosial memboikot produk bukan Islam dan mengutamakan barang keluaran orang Islam.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika ditanya wartawan mengenai gerakan itu menyifatkannya sebagai tidak baik kepada negara.

Berita Harian X