Isnin, 2 September 2019 | 6:52pm
PRESIDEN Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia, Datuk Chua Kok Hwa menunjukkan pokok bonsai Maba Buxifolia pada Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2019 (Floria Diraja Putrajaya 2019) yang berlangsung sehingga 8 September di Taman Botani Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
PRESIDEN Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia, Datuk Chua Kok Hwa menunjukkan pokok bonsai Maba Buxifolia pada Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2019 (Floria Diraja Putrajaya 2019) yang berlangsung sehingga 8 September di Taman Botani Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Bonsai cecah RM80,000 di Floria Putrajaya 2019

PUTRAJAYA: Pengunjung Royal Floria Putrajaya 2019 berpeluang melihat koleksi

pokok bonsai bernilai puluhan ribu ringgit dengan usia dianggarkan sehingga 90 tahun sepanjang sembilan hari penganjurannya.

Presiden Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia, Datuk Chua Kok Hwa, berkata sebanyak 54 pokok bonsai berkualiti tinggi dipamerkan sepanjang Floria Putrajaya 2019.

“Terdapat dua pokok bonsai dianggarkan berusia 90 tahun dipamerkan pada pameran ini iaitu dari spesies Maba Buxifolia dan Premna Obtusifolia.

“Selain itu, pokok bonsai jenis Wrightia Religiosa yang berusia 40 tahun dianggarkan termahal di sini boleh mencecah sehingga RM80,000 hingga RM90,000,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam pada itu, katanya usia pokok bonsai dianggarkan melalui pelbagai cara termasuk tekstur kayu dan batangnya.

“Selain itu, pokok bonsai adalah pokok yang sangat memerlukan cahaya matahari dan Malaysia adalah negara paling baik untuk bonsai kerana tidak mengalami cuaca empat musim dan menerima matahari sepanjang tahun.

“Disebabkan itu Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia ditubuhkan bagi mempromosikan bonsai di negara ini.

“Pokok bonsai sebenarnya boleh didapati di pelbagai tempat termasuk di kawasan pulau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Induk Royal Floria Putrajaya 2019, Mustafa Kamal Ismail berkata pelbagai kemudahan pengangkutan untuk memudahkan pengunjung melawat Royal Floria Putrajaya 2019 disediakan sepanjang sembilan hari penganjurannya.

“Antaranya termasuk teksi air, bas ulang-alik dari kawasan parkir kenderaan selain 2,000 tempat parkir kenderaan.

“Bagi kemudahan teksi air menggunakan bot Dondang Sayang, ia disediakan berhampiran jeti Masjid Putra dan pengunjung hanya perlu membayar RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak yang mana ia termasuk tiket masuk ke Royal Floria Putrajaya 2019.

“Kita juga menyediakan bas ulang alik dari tempat parkir kenderaan membabitkan Parcel A, B, C, D, E dan Taman Perdana Putra,” katanya.

Katanya, setakat ini, kira-kira 50,000 pengunjung mengunjungi Royal Floria Putrajaya 2019 dan seramai 500,000 dianggarkan bakal mengunjungi pameran itu menjelang hari terakhir penganjurannya.

Berita Harian X