Isnin, 2 September 2019 | 3:18pm

Boikot barangan bukan Bumiputera tidak beri kesan - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir pihak menggesa rakyat negara ini memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera tidak memberi kesan kepada harga barangan sedia ada.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya turut tidak menerima sebarang aduan berhubung tindakan memboikot itu.

Malah, katanya, pertemuannya bersama beberapa wakil pemborong, peruncit, persatuan dan pertubuhan perniagaan sebelum ini tidak menyentuh langsung isu boikot sebaliknya membincangkan soal dasar dan persaingan untuk kepentingan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Pihak terbabit turut dianggotai semua kaum, tidak sebut isu boikot, kita bincangkan mengenai perkara dasar, persaingan untuk meningkatkan kualiti barangan di negara ini.

“Saya nasihat pihak lain untuk tidak bangkitkan isu boikot, kita (rakyat semua kaum) bergantung antara satu sama lain, di mana ada kekuatan kita manfaatkan manakala kelemahan kita baiki, ‘jalan’ dia bukan cara boikot.

“Kita perlu saling menghormati, membantu dan memahami antara sama lain, termasuk dalam urusan ekonomi yang juga adalah kunci kepada kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Jualan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-Keep), di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata tindakan memboikot terbabit tidak sepatutnya berlaku dan tidak akan memberi kesan sebaliknya hanya menimbulkan kemarahan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata kertas kerja membabitkan pelaksanaan subsidi petrol bersasar sudah siap sepenuhnya dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada masa terdekat.

“Kementerian masih tunggu giliran (untuk bentang kertas kerja), setiap kementerian mempunyai gilirannya untuk bentangkan kertas kerja masing-masing.

“Ketika kita bentangkan kertas kerja nanti, kita akan mendengar pendapat dan cadangan ahli Kabinet (sebelum tindakan susulan boleh diambil),” katanya.

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kanan) merasmikan majlis penutup Karnival Jualan i-Keep di Padang Bola PPR Kerinchi, Pantai Dalam. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Berita Harian X