Isnin, 2 September 2019 | 3:16pm
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Lebih baik kempen bantu ekonomi sesama Muslim - Mufti Perlis

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyifatkan kempen memboikot barangan keluaran bukan Islam di negara ini sebagai bukan seruan yang bijak.

Beliau berkata, ini kerana walaupun ketara sikap anti-Muslim dalam segelintir masyarakat bukan Islam, terutama ahli politik parti tertentu, bukan semuanya bersikap sedemikian.

“Ada mereka yang baik hubungan dan penghormatan kepada masyarakat Muslim. Islam tidak mengajar kita memusuhi orang yang tidak memusuhi kita,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan segelintir pihak melancarkan kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, tambahan pula, produk Muslim sendiri tidak merangkumi seluruh keperluan kehidupan kini.

“Maka, sangat sukar untuk berjaya jika memboikot keseluruhannya selagi kita masih bergantung pada sumber produk bukan Muslim dalam sebahagian keperluan.

“Saya percaya kempen lebih baik ialah kempen membantu ekonomi sesama Muslim. Dalam erti kata lain, kita berusaha pelbagai cara untuk menguatkan ekonomi sesama kita. Ekonomi adalah kuasa penting kekuatan sesebuah masyarakat.

“Golongan anti-Muslim memandang lekeh masyarakat jika ekonomi kita lemah. Maka, kita hendaklah berikhtiar membantu mencapai misi ini, termasuk dengan membeli dan mengutamakan produk Muslim.

“Selain itu, berkongsi kepakaran sesama Muslim dalam bidang ekonomi, tolong berkempen barangan Muslim dan mencari ruang supaya hasil produk serta perniagaan Muslim dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam juga antara lain perlu mencari langkah mengatasi kelemahan dalam menguasai rantaian bekalan utama sehingga menyebabkan peniaga Muslim berdepan cabaran.

Berita Harian X