Sabtu, 31 Ogos 2019 | 2:41pm
Sabah adalah lokasi ketiga Karnival Jom Heboh pada tahun ini selepas Shah Alam dan Johor Bahru pada April dan Julai lalu.
Sabah adalah lokasi ketiga Karnival Jom Heboh pada tahun ini selepas Shah Alam dan Johor Bahru pada April dan Julai lalu.
Poster penganjuran Karnival Jom Heboh anjuran TV3 yang bakal menemui orang ramai di Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada 7 dan 8 September ini.
Poster penganjuran Karnival Jom Heboh anjuran TV3 yang bakal menemui orang ramai di Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada 7 dan 8 September ini.

Karnival Jom Heboh temui peminat di Sabah 7, 8 September ini

KOTA KINABALU: Karnival Jom Heboh (KJH) TV3 yang kali terakhir dianjurkan di negeri ini enam tahun lalu akan kembali menemui peminat Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) itu di Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas pada 7 dan 8 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak, berkata Sabah adalah lokasi ketiga KJH pada tahun ini selepas Shah Alam dan Johor Bahru pada April dan Julai lalu.

“Kali terakhir KJH singgah di Sabah ialah pada 2013. Kami amat teruja dapat kembali ke Sabah kerana kali terakhir kunjungan kami di Sabah, kami menerima sambutan yang amat hebat daripada warga negeri ini.

“Acara padang sebegini adalah platform tepat untuk mendekati penonton setia kami dan sebagai tanda terima kasih kami kepada penonton setia yang tidak pernah putus memberi sokongan kepada kami,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata KJH di Kota Kinabalu kali ini diharap mendapat sokongan dan sambutan yang lebih padu daripada warga Sabah bukan hanya di sekitar ibu negeri, malah dari daerah lain yang berdekatan.

Katanya, pada karnival itu pengunjung berpeluang beramah-mesra bersama selebriti seperti Bella Dally, Nafiz Muaz, Shuk GPH, Shuib GPH, Fizie GPH, Megat Mentor, Wani Kayrie, Afieq Shazwan dan Alyssa ICSYV.

Selain itu, beliau berkata, personaliti TV seperti Fiza Sabjahan, Fariha Onn, Hazrena Kasim, Anwar Afiq dan Zack Merican juga bakal menemui peminat dan menyaksikan mereka membuat siaran lintas langsung di TV3.

“Kami menyediakan dua studio yang menghimpunkan pelbagai aktiviti iaitu Studio A dan Studio B. Bersama Acap dan Zee Tokan yang bakal menggamatkan suasana di Studio A, pengunjung boleh turut serta dalam aktiviti seperti Tiru Gaya Saya, Lip Sync Battle, Karaoke Boom! dan banyak lagi bersama selebriti di sana.

“Bagi pengunjung yang hadir bersama anak-anak kecil, Studio B pasti menjadi pilihan mereka. Harris Alif dan Shah Sulaiman selaku hos bakal menghiburkan anak-anak dengan pelbagai aktiviti menarik seperti aktiviti DIY, permainan, sesi bergambar di B! Insta, persembahan penjagaan gigi dan sesi ramah mesra serta peluang bergambar bersama maskotEjen Ali, Boboiboy dan Alif & Sofia,” katanya.

Johan berkata, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan konsert oleh penyanyi hebat pada sebelah malam bermula dengan pentas Hot FM Nite Jam pada malam Sabtu yang dijangka digegarkan dengan persembahan Misha Omar, Hael Husaini, Drama Band, Amir Masdi dan Neon.

Pada malam Ahad, katanya pengunjung KJH di Kota Kinabalu akan dihiburkan pula menerusi persembahan Kumpulan Slam, Zizi Kirana, Atmosfera Band, Velvet, Qody Rani dan Qalisya Mentor.

“Lebih istimewa lagi, seorang pengunjung bertuah KJH Sabah berpeluang membawa pulang sebuah kereta Nissan Serena 2.0L Highway Star dengan hanya menyertai peraduan Jom Menang Kereta!

“Maklumat lanjut mengenai peraduan ini dan info terkini mengenai KJH boleh diperolehi melalui laman sesawang www.xtra.com.my/jombeboh dan laman sosial @TV3Malaysia,” katanya.

Berita Harian X