Sabtu, 31 Ogos 2019 | 11:51am

Misi 27 pendaki kibar Jalur Gemilang di EBC

SEPANG: Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ menjadi inspirasi buat 27 pendaki bagi menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang gergasi di Everest Base Camp (EBC) bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Kumpulan disertai pelbagai bidang kerjaya itu menggalas cabaran untuk mengibarkan Jalur Gemilang gergasi setinggi enam meter dan lebar 12 meter, serta seberat 11 kilogram di EBC yang berketinggian 5,364 meter dari paras laut.

Kumpulan ekspedisi itu turut disertai pelakon drama Nur 2, Azhan Rani dan lima pengamal media terdiri wartawan BH, Zainuri Misfar dan Abdul Razak Raaff; Jurufoto Bernama, Mohd Faizol Abdul Aziz dan wartawan Kosmo, Norzasrudin Mohamed.

Ketua Ekspedisi, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, berkata antara cabaran utama pendaki ialah keadaan cuaca dan suhu serta risiko diserang penyakit akut gunung atau altitude mountain sickness (AMS).

Katanya, mereka perlu mendaki bermula pada paras ketinggian 2,700 meter dari Lukhla selama 12 hari sejauh kira-kira 130 kilometer (km) pergi dan balik.

“Sebagai mempromosi amalan gaya hidup sihat dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan, peserta juga akan mendaki Gunung Kala Patthar setinggi 5,545 meter,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang gergasi dan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Majlis penyerahan Jalur Gemilang disempurnakan Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Yang turut hadir, ikon ekspedisi cabaran mengibar Jalur Gemilang gergasi di EBC yang juga penyanyi, Amy Search.

Ekspedisi anjuran Summit Attack Resources (SAR) yang bermula hari ini hingga 16 September turut disertai enam pendaki dari Brunei.

Mohd Fakhrul yang juga pegawai bomba dari Akademi Bomba Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, berkata peserta akan memulakan pendakian lapan hari untuk tiba ke EBC bermula 2 September dengan purata berjalan sejauh kita-kira 15 km sehari.

Sekiranya keadaan cuaca baik, katanya, misi mengibar Jalur Gemilang di EBC itu akan direalisasikan pada 10 September.

“Semua pendaki sudah melakukan persiapan fizikal dan mental dengan mengadakan latihan termasuk mendaki gunung di dalam dan luar negara sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Lam Thye berkata, kumpulan ekspedisi disertai pelbagai latar belakang dan usia itu perlu dijadikan model kerana mampu bekerjasama demi menjayakan misi ke EBC.

Katanya, perpaduan dan kerjasama erat tanpa mengira latar belakang pasti memberikan hasil terbaik seperti yang dilihat dalam pembentukan negara Malaysia.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) berharap, bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan, anggota ekspedisi itu berupaya melakar sejarah mengibar Jalur Gemilang gergasi di EBC.

“Ia adalah cabaran hebat untuk dijayakan namun saya yakin ia mampu dilaksanakan sekiranya semua anggota ekspedisi berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan mereka,” katanya.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye (tengah) bersama 27 pendaki cabaran mengibar Jalur Gemilang gergasi di Everest Base Camp (EBC) bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Samadi Ahmad
Berita Harian X