Khamis, 29 Ogos 2019 | 1:55pm
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Kehadiran dua panel baharu cetus polemik Sasterawan Negara

KUALA LUMPUR: Penangguhan pengumuman Sasterawan Negara (SN) Ke-14 sejak April lalu dikaitkan dengan campur tangan politik apabila dua panel baharu dibawa masuk ke mesyuarat akhir pemilihan Anugerah Sastera Negara (ASN) baru-baru ini.

Sumber memberitahu BH, dua panel baharu itu tidak terbabit dengan proses awal pemilihan SN, sekali gus penyertaan mengejut dalam mesyuarat akhir menunjukkan wujudnya kecenderungan memilih calon SN yang tiada dalam senarai pencalonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat ASN.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana pencalonan SN dibuka kepada umum sejak tahun lalu dan sesiapa sahaja boleh dicalonkan jika memenuhi kriteria.

“Bagaimanapun, apabila ada nama lain diselitkan pada peringkat akhir, ia hanya menjejaskan keseluruhan sistem sedia ada,” katanya kepada BH di sini, semalam.

Sumber itu berkata, lebih memalukan jika calon berkenaan tidak memenuhi kriteria digariskan untuk dipilih sebagai SN, sebaliknya diberikan atas kepentingan politik.

Spekulasi siapakah pengarang yang bakal diangkat sebagai SN ke-14 mula timbul apabila pengumuman yang sepatutnya dibuat April lalu, ditangguhkan tanpa sebarang alasan, sedangkan tarikh penganugerahan ASN itu sudah pun diputuskan pada 21 September depan yang bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Julai lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, akan ada kejutan besar dalam penganugerahan SN kali ini.

Jawapan itu diberikan ketika ditanya wartawan mengenai spekulasi SN Ke-14 tidak datang daripada sastera arus perdana, selain khabar angin beliau menolak senarai nama calon diberikan DBP menjadi punca pengumuman SN tertangguh.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto Sairien Nafis
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran. - Foto Sairien Nafis

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shoekran, menafikan wujudnya campur tangan politik dalam penganugerahan SN, sebaliknya majlis yang dijadualkan pada 21 September ini akan berlangsung mengikut jadual.

“Tiada campur tangan Kementerian Pendidikan dalam hal ini tetapi menterinya selaku Pengerusi Sekretariat ASN tentulah ada kuasa budi bicara, begitu juga ahli panel lain tentulah ada fungsi mereka.

“Semua penilaian untuk penerima adalah dibuat secara profesional berasaskan merit dan perbincangan,” katanya.

Abang Sallehuddin berkata, pengumuman SN Ke-14 itu akan dilakukan Menteri Pendidikan dalam masa terdekat.

Kali terakhir penganugerahan SN dibuat adalah pada 13 Oktober 2015, yang menyaksikan penulis kelahiran Kedah, Datuk Dr Zurinah Hassan diumumkan sebagai penerima ke-13.

ASN yang membawa gelaran SN itu ialah anugerah tertinggi kepada penggiat kesusasteraan kebangsaan yang dimulakan pada 1979 dengan dipengerusikan oleh menteri pelajaran ketika itu, Tan Sri Musa Hitam.

Idea mengenainya dicetuskan pada 1977 oleh perdana menteri ketika itu, Tun Hussein Onn yang menyebut hasrat kerajaan meningkatkan taraf dan penghargaan kepada sasterawan tanah air.

Berita Harian X