Selasa, 27 Ogos 2019 | 4:09pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin (dua dari kanan) merasmikan Seminar Kebangsaan Teknologi Pertanian Tepat Padi (TEPAD) di Butterworth, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

Jangan tukar status tanah pertanian kepada pembangunan

BUTTERWORTH: Semua kerajaan negeri digesa tidak sewenang-wenangnya menukar syarat tanah pertanian di kawasan mereka untuk membolehkan pemaju membangunkan projek perumahan mahupun industri.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin, berkata kerajaan sentiasa menerima laporan berhubung penyusutan tanah sawah di negara ini berikutan pelbagai projek pembangunan dan ia menjadi cabaran, apatah lagi beras adalah makanan ruji rakyat.

Beliau berkata kejadian pada 2009 perlu dijadikan iktibar, di mana harga beras ketika itu meningkat kerana kekurangan bekalan import dari Vietnam sehingga kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tinggi bagi membolehkan rakyat membeli beras pada harga berpatutan.

“Negara masih bergantung kepada beras import kerana apa yang ada (dalam negara) masih tidak mencukupi.

“Apabila berlaku kekurangan bekalan dari negara pengeksport, ia akan mempengaruhi harga dan menyebabkan kerajaan turut terkesan kerana perlu mengeluarkan bajet yang tinggi,” katanya mengulas mengenai laporan khas BH berhubung isu penyusutan tanah sawah.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru itu merasmikan Seminar Kebangsaan Teknologi Pertanian Tepat Padi (TEPAD) di sini, hari ini.

Isnin lalu, BH melaporkan hampir kebanyakan negeri kini dikesan menghadapi krisis penyusutan kawasan sawah yang sekiranya tiada kawalan, boleh mengancam pengeluaran beras yang menjadi sumber makanan ruji penduduk di negara ini.

Ini berikutan kawasan sawah ‘bertukar wajah’ apabila dibangunkan dengan pelbagai projek infrastruktur, komersial dan perumahan, sekali gus menjadikan keluasan sawah negara makin mengecil.

Tze Tzin juga meminta kerajaan negeri melihat pelbagai aspek sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung status tanah pertanian, terutama membabitkan kawasan sawah.

“Kekurangan tanah sawah memberi kesan kepada Tahap Sara Diri (SSL) yang boleh mengakibatkan bekalan menyusut.

“Jumlah penduduk pula semakin hari semakin bertambah dan menyebabkan permintaan makanan meningkat, namun bekalan pula berkurangan, sekali gus membimbangkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lalu, tanaman padi berkeluasan 628,000 hektar menghasilkan 2.3 juta tan metrik beras, namun ia masih tidak mencukupi.

Katanya, kini terdapat lapan kawasan jelapang padi di negara ini diwartakan, yang mana ia tidak boleh ditukar untuk tujuan pembangunan dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin.

“Walaupun rakyat memerlukan perumahan, kerajaan negeri kena faham bahawa rakyat lebih memerlukan makanan.

“Jadi, Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu merangka sebarang pembangunan di kawasan mereka dengan strategik tanpa menjejaskan sektor pertanian,” katanya.

Berita Harian X