Isnin, 26 Ogos 2019 | 7:11pm
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kadar kemalangan di tempat kerja membimbangkan - Kulasegaran

KUALA LUMPUR: Kadar kemalangan di tempat kerja dan penyakit berkaitan pekerjaan kini berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Beliau berkata, Laporan Kemajuan Agenda Pembangunan Lestari (SDG) 2030, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyatakan sekurang-kurang tiga kematian berlaku bagi setiap 100,000 pekerja dan purata 889 kecederaan bagi setiap 100,000 pekerja.

“Ini jelas menunjukkan kesedaran mengenai amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam kalangan majikan, masih rendah.

“Saya berharap tahun ini, melalui Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) Ke-22, kita dapat mencari penyelesaian mengenai cara mendidik majikan meningkatkan tahap keselamatan serta kesihatan pekerja di tempat kerja,” katanya ketika berucap merasmikan COSH Ke-22 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

COSH Ke-22 anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan tema ‘Memacu Kecemerlangan KKP Berlandaskan Integriti Demi Masa Hadapan’, dijayakan 1,000 peserta mewakili agensi serta pengamal KKP dari seluruh negara.

Kulasegaran berkata, pihaknya sering menekankan aspek KKP, lebih-lebih lagi Revolusi Perindustrian 4.0 menumpukan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Persoalannya kini ialah sama ada majikan bersedia serta memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan sejauh mana tenaga kerja ini dapat dikekalkan dalam pasaran kerjaya,” katanya.

Beliau berkata, persekitaran tempat kerja yang selamat adalah jaminan untuk pekerja terus kekal bekerja.

“Apabila majikan menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerja, maka masalah kemalangan di tempat kerja dapat diatasi.

“Apabila berasa selamat ketika bekerja serta tiada gangguan, pekerja akan bekerja dengan lebih baik dan seterusnya meningkatkan kualiti kerja mereka.

“Saya percaya apabila ini berlaku, kecekapan kerja juga bertambah baik dan ini sudah pasti dapat meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau turut menasihati majikan agar sentiasa mengutamakan aspek kesejahteraan dan kemakmuran pekerja.

“Majikan perlu sentiasa menyemak dan memberi maklum balas kepada aduan mengenai isu keselamatan di tempat kerja serta mengambil tindakan segera mengatasinya.

“Majikan tidak perlu bersikap tunggu serta lihat dan hanya bertindak apabila kemalangan sudah berlaku. Tindakan seumpama ini merugikan, justeru lebih baik mencegah daripada merawat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, pula berkata amalan rasuah tidak boleh dikompromi atau dibiarkan menjadi budaya dalam masyarakat, terutama dalam kalangan pengamal KKP.

“Ini kerana aspek KKP adalah penting bagi sesebuah organisasi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, usaha memerangi rasuah, isu integriti, proses tadbir urus dan tingkah laku beretika harus dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran keselamatan sedia ada.

“Kita harus mendidik pengamal KKP untuk memiliki integriti dan menolak rasuah, sama seperti kita mendidik mereka membenci dadah.

“Kita perlu menerapkan nilai moral supaya apabila berada di tempat kerja, mereka akan menyedari kepentingan menolak rasuah, terutama berkaitan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja,” katanya.

Berita Harian X