Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:11pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Bual Bicara Bersama Anwar Ibrahim sempena Jelajah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Darul Puteri, Jalan Cheras. - Foto Eizairi Shamsudin

Anwar setuju Zakir Naik kekal di Malaysia

KUALA TERENGGANU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik di Malaysia.

Beliau berkata, keputusan itu bukan menandakan ketaksuban terhadap penceramah kelahiran India itu, tetapi ia dibuat mengikut jalur hukum dan pertimbangan kemanusiaan serta bukan berasaskan sentimen atau desakan mana-mana pihak.

Katanya, beliau bersetuju Zakir tidak dihantar pulang ke negara kelahirannya India dan kekal di Malaysia, terutama ketika siasatan terhadapnya sedang dijalankan.

"Kalau kita lihat kenyataan beliau (Zakir) dia konsisten begitu, dia agak provokatif dan dalam wacana antara agama mungkin agak menyinggung. Tetapi saya tidak fikir beliau sengaja nak menghina atau pertikai kedudukan orang Cina atau India.

"Masalah kalau (Zakir) berucap akan timbulkan ketegangan, itu sudah diselesaikan (dengan larangan Zakir berceramah). Oleh demikian saya tidak fikir ini harus dikaitkan dengan gesaan atau desakan supaya dia dikirim pulang ke India.

"Jadi saya sokong untuk beliau kekal di Malaysia, terutama ketika siasatan terhadapnya diteruskan," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Presiden di Bangunan PKR negeri di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turut merasmikan bangunan berkenaan dan mengadakan dialog selama satu jam bersama ahli PKR seluruh negeri yang turut dihadiri Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Anwar berkata, beliau sendiri menggesa dan merayu kepada Zakir supaya mengelak daripada menjadi percaturan politik pihak tertentu.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kegagalan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadiri mesyuarat parti beberapa kali, Anwar berkata, beliau positif Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tahu tanggungjawab digalasnya sebagai pimpinan kanan parti.

Menafikan Azmin kebal apabila tidak dikenakan tindakan walaupun gagal menghadiri mesyuarat parti, beliau berkata, belum masanya untuk pemimpin itu dikenakan tindakan kerana ketidakhadirannya disertakan dengan sebab tertentu.

"Saya selalu positif, kenapa nak anggap negatif yang beliau tidak akan hadir ke mesyuarat. Beliau Timbalan Presiden dan tahu tanggungjawabnya dan saya percaya dia akan hadir mesyuarat.

"Setakat ini belum perlu apa-apa tindakan terhadapnya, (namun) beliau tidak kebal daripada tindakan. Tetapi beliau selalu beri sebab kenapa tidak hadir mesyuarat.

"Memang ada dalam peraturan parti kalau tidak hadir mesyuarat tiga kali berturut-turut tanpa sebab, gugur jawatannya. Kadang kala orang cuba beri sebab, jadi Lembaga Disiplin kena siasat sebab itu betul atau tidak.

"Bagi saya, semua pimpinan dikehendaki menghadiri mesyuarat, jadi gesaan itu sudah cukup. Esok kita ada mesyuarat pimpinan tertinggi parti, mesyuarat bulanan dan selang seminggu, mesyuarat Biro Politik. Jadi, semua pimpinan diminta hadir," katanya.

Mengulas dakwaan wujud dua puak atau kem dalam PKR yang sekali gus menggambarkan ketidaksepaduan dalam parti, Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikannya dan berkata, ia hanyalah persepsi media.

6896 dibaca
Berita Harian X