Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:48pm
PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menjawab soalam ketika di temubual sempena Hari Angkatan Tentera ke 86 di Wisma Pertahanan. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PANGLIMA Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menjawab soalam ketika di temubual sempena Hari Angkatan Tentera ke 86 di Wisma Pertahanan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

ATM puas hati dengan aset dimiliki

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpuas hati dengan kekuatan aset ketenteraan dimiliki ketika ini yang diyakini berupaya menjaga kedaulatan dan keamanan negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata bagaimanapun usaha naik taraf atau penambahan aset tentera akan dibuat dari semasa ke semasa, mengikut keperluan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan pasukan pada tahap tertinggi.

“Rancangan perolehan aset untuk ATM sudah didaftarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) mengikut keutamaan.

“Proses perolehan ini akan dilakukan secara berterusan mengikut keperluan dan keupayaan kewangan negara ketika ini.

“Kementerian Pertahanan dan ATM sedia maklum mengenai keadaan negara yang sedang menghadapi kekangan kewangan serta langkah penjimatan yang diambil kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Wawancara Khas Panglima Angkatan Tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-86 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, proses perolehan dan naik taraf aset ATM turut dimasukkan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) supaya ia dibuat secara lebih telus selain mengelakkan ketirisan.

Katanya, keperluan naik taraf atau menambah mana-mana aset ketenteraan negara sama ada darat, laut atau udara perlu dilaksanakan mengikut keutamaan dan berpandukan kepada rancangan pelaksanaan dalam KPP.

“Dalam hal ini, ATM melaksanakan pelbagai siri kajian termasuk kaedah perbelanjaan secara berhemah, mengurus aset sedia ada dengan efektif, selain daripada segi kos penyelenggaraan, penggunaan optimum serta keperluan sebenar.

“Selain itu, ATM juga mengutamakan perancangan perolehan aset baharu bagi menggantikan aset usang dan tidak mempunyai kelebihan untuk menghalang, melumpuh serta memusnahkan musuh,” katanya.

Berita Harian X