Jumaat, 23 Ogos 2019 | 5:09pm

MAVCOM tidak puas hati masalah di KLIA

SEPANG: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) tidak berpuas hati dengan masalah teknikal yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAVCOM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sebagai sebuah suruhanjaya yang menyediakan mekanisme untuk perlindungan pengguna penerbangan, pihaknya terkejut dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, MAVCOM sudah berhubung dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan meminta pihak berkaitan untuk memaklumkan kepada penumpang dan syarikat penerbangan terbabit sekiranya operasi di KLIA kembali normal.

“Kami faham bahawa MAHB sedang bekerjasama dengan semua pihak yang berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulihkan operasi lapangan terbang.

“MAVCOM akan terus memantau dan menilai tahap perkhidmatan di KLIA menerusi Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang serta Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” katanya.

Sejak malam Rabu lalu, KLIA mengalami masalah teknikal yang berpunca dari pelayan komputer di terminal berkenaan hingga menyebabkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan serta kaunter daftar masuk bagasi terganggu.

Selain itu, beberapa penerbangan juga terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah berkenaan.

Berita Harian X