Jumaat, 23 Ogos 2019 | 3:47pm
LEE Lam Thye menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan bantuan penambahbaikan Interior kepada The Befrienders KL yang diadakan di The Befrienders KL, 95, Jalan Templer. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
LEE Lam Thye menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan bantuan penambahbaikan Interior kepada The Befrienders KL yang diadakan di The Befrienders KL, 95, Jalan Templer. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Individu cuba bunuh diri diberi rawatan bukan hukuman

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (Peguam Negara) perlu mengkaji keperluan untuk memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan supaya individu yang cuba membunuh diri tidak dihukum, sebaliknya diberi rawatan psikologi.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata sudah tiba masanya akta itu dimansuhkan kerana pelaku bukanlah seorang penjenayah, namun pesakit yang perlu dibantu.

Katanya, perkara itu juga sudah dibincangkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hasil perbincangan berkenaan juga sudah dikemukakan kepada Peguam Negara.

“Peguam Negara perlu mengkaji perkara ini kerana kita berpendapat individu yang cuba membunuh diri bukan penjenayah namun mengalami gangguan emosi kronik sehingga mendorong melakukan perkara di luar batasan.

“Sekiranya, individu sebegini diambil tindakan ia hanya akan menyebabkan keadaan semakin parah, malah penderitaan dialaminya tidak berkesudahan,” katanya pada Majlis Penyerahan Pejabat The Befrienders Kuala Lumpur yang berwajah baharu.

Lam Thye yang juga Pengerusi Yayasan Eco World, berkata The Befrienders adalah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan perkhidmatan kaunseling terhadap golongan masyarakat bermasalah.

“The Befrienders menerima hampir 100 panggilan telefon setiap hari daripada individu yang menderita akibat masalah mental sehingga ada yang nekad mahu membunuh diri.

“Yayasan Eco World melihat kerja amal yang dilaksanakan mereka adalah usaha murni dan perlu diberi bantuan, justeru, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi memperbaharui pejabat The Befrienders.

“Ia adalah bertujuan untuk memberikan nafas baharu kepada individu bermasalah ketika menjejakkan kaki ke pejabat ini untuk mendapatkan bantuan kaunseling secara bersemuka,” katanya.

Berita Harian X