Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:51pm
GUAN Eng (kiri) bersama Zuraida ketika sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). - Foto BERNAMA
GUAN Eng (kiri) bersama Zuraida ketika sidang media selepas Mesyuarat Kumpulan Fokus Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). - Foto BERNAMA

Kriteria baharu Dana Rumah Mampu Milik kurangkan ansuran bulanan 20 peratus

PUTRAJAYA: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah bagi permohonan Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion kepada RM4,360 berbanding RM2,300 sebelum ini akan dapat mengurangkan bayaran ansuran bulanan peminjam sehingga 20 peratus.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata pemohon yang berjaya akan menikmati kadar faedah rendah pada 3.5 setahun dengan tempoh pinjaman 40 tahun, berbanding 30 tahun sebelum ini.

“Ini akan memudahkan mereka mendapatkan pinjaman. Ia antara langkah dimulakan kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kumpulan Fokus Bajet Belanjawan 2020 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Semalam, BNM mengumumkan menambah baik kriteria kelayakan dan ciri-ciri Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion, dengan menaikkan kelayakan pendapatan maksimum bulanan isi rumah kepada RM4,360 berbanding RM2,300 sebelum ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata penambahbaikan itu bagi membantu pembeli rumah berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama.

Katanya, penambahbaikan juga membabitkan had harga maksimum rumah layak dibiayai dinaikkan kepada RM300,000 berbanding RM150,000 sebelum ini.

Berhubung dakwaan mengatakan inisiatif perlindungan insurans MySalam sebagai skim cepat kaya dan menguntungkan syarikat insurans serta takaful, Great Eastern, Guan Eng berkata, ia tidak benar kerana syarikat berkenaan menyumbangkan wang RM2 bilion bagi skim terbabit.

“Saya tidak faham bagaimana boleh menguntungkan apabila dia (Great Eastern) yang sumbang wang,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, kementeriannya akan melancarkan enam lagi skim pembiayaan perumahan pada pertengahan Oktober ini, bagi membantu rakyat terutama golongan B40 memiliki rumah.

Katanya, skim berkenaan yang kini sedang dalam proses dimuktamadkan akan disertai 15 bank dan institusi kewangan.

“Model pembiayaan akan disediakan khususnya untuk golongan B40 dan mereka boleh serta-merta memanfaatkannya,” katanya.

Berita Harian X