Khamis, 22 Ogos 2019 | 3:08pm

Guru tuisyen menang dua kondo RM1 juta peraduan DuitNow

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik pusat tuisyen menerima durian runtuh apabila memenangi dua kondominium bernilai RM1 juta, menerusi Peraduan Pelancaran DuitNow.

Heng Soo Yin, 34, dari Sungai Petani, Kedah, terpilih menerusi peraduan yang berlangsung selama lima bulan bermula 8 Januari dan berakhir 31 Mei lalu, sempena pelancaran DuitNow pada Disember tahun lalu.

Soo Yin yang turut mengajar di pusat tuisyen miliknya, mengakui terkejut dengan kemenangan itu, malah menyangka ia ‘scam’ ketika kali pertama dimaklumkan perkara itu.

“Saya tidak menjangka menang kerana tidak tahu mengenai kempen ini, sebaliknya hanya menggunakan DuitNow seperti biasa.

“Dua bulan lalu, Public Bank Berhad menghubungi saya dan memaklumkan saya menang rumah bernilai RM1 juta.

“Mulanya saya ingatkan ia satu sindiket penipuan, namun selepas mengesahkan dengan PayNet, barulah saya sedar ini realiti,” katanya ditemui pada Majlis Penyampaian hadiah Utama Peraduan Pelancaran DuitNow di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Peter Schiesser; Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Gerard Yuen Yun Wei dan Ketua Pegawai Operasi Public Bank Berhad, Datuk Sulaiman Abd Manap.

Soo Yin berkata, ketika diumumkan pemenang, dia ditawarkan memilih hadiah kediaman daripada tiga pemaju, sebelum memutuskan memilih dua kondominium daripada Sime Darby Property.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PayNet, Khairuan Abdul Rahman, berkata pihaknya menawarkan hadiah keseluruhan RM4 juta kepada pengguna yang membuat transaksi pindahan wang menggunakan DuitNow, dengan hadiah kediaman itu yang terakhir diserahkan kepada pemenang.

Khairuan berkata, PayNet kini bekerjasama dengan BH dan menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-32.

Antara ditawarkan adalah 100 tiket percuma menyaksikan ABPBH pada 22 September depan di Putrajaya; peluang bertemu dan beramah mesra dengan artis pilihan DuitNow kepada 20 peminat serta pakej percutian ke Korea Selatan untuk dua orang yang ditanggung PayNet.

Untuk memenangi hadiah itu, katanya, peminat perlu mengundi artis pilihan masing-masing menggunakan DuitNow, dengan setiap satu undian akan digandakan sebanyak enam kali.

“Setiap artis akan ada nombor telefon masing-masing yang kita cipta khas untuk ABPBH. Peminat perlu mengambil nombor telefon itu di laman sesawang ABPBH, kemudian akses aplikasi perbankan dalam talian, seperti Maybank2U atau CIMB Clicks.

“Mereka hanya perlu masukkan nombor telefon itu dan pindahkan minimum 50 sen ke nombor berkenaan untuk mengundi artis mereka. Peminat juga dapat melanggan e-paper BH selama sehari,” katanya.

DuitNow adalah perkhidmatan transaksi elektronik yang membolehkan pemindahan atau pembayaran wang dilakukan hanya menggunakan nombor telefon, berbanding nombor akaun bank.

Perkhidmatan ini tidak memiliki aplikasi sendiri, sebaliknya pengguna perlu menggunakan aplikasi perbankan dalam talian milik bank masing-masing untuk mengakses DuitNow.

Pemenang utama, Heng Soo Yin (tengah) bersama ibu bapanya yang memenangi dua unit kondominium mewah menerusi peraduan DuitNow di International Gallery KLGCC. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X