Rabu, 21 Ogos 2019 | 12:12pm
TIMBALAN Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. NSTP/Aizuddin Saad
TIMBALAN Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. NSTP/Aizuddin Saad

Isu Zakir Naik: PM harus imbangi kepentingan nasional

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhadapan dengan keadaan yang sukar dalam membuat pertimbangan berhubung isu pendakwah, Dr Zakir Naik.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri harus mengimbangi kepentingan nasional, hak asasi Dr Zakir dan pertimbangan politik pelbagai kaum di Malaysia berhubung tindakan mengusir pendakwah berkenaan.

Katanya, tindakan mengusir Zakir Naik haruslah dipertimbang sebaik-baiknya.

“Tidak mengusir beliau (Dr Zakir) akan dilihat sebagai penerimaan kata-kata beliau yang menyinggung perasaan, malah tidak menghormati kaum tertentu di Malaysia. Namun begitu, jika dihantar pulang, nyawa dan hak asasi beliau akan terancam, maka kita mesti bertindak rasional.

“Walau macam mana tidak bersetuju pun kita dengan pendapat Zakir Naik dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika kita mendapat jaminan bahawa hak asasi beliau dihormati, jika beliau diusir.

“Jika diyakini bahawa hak asasi itu akan dikompromi, maka Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan amalan terbaik perundangan antarabangsa.

“Yang pasti, kita mengharapkan keputusan berhikmah dari beliau (Dr Mahathir),” katanya dalam catatan di media sosial Facebooknya, semalam.

Mohamad berkata, kekuatan sebenar Malaysia ialah kemajmukannya, kehidupan harmoni pelbagai kaum dan agama yang telah menjadi karakter utama negara ini.

Katanya, justeru sesiapa saja yang cuba menggugat keharmonian itu, wajar bertanggungjawab atas tindakan mereka.

“Jika benar apa yang diucapkan oleh Zakir Naik di Kota Baharu itu, bersifat menghasut dan boleh mengancam kehidupan rukun damai masyarakat Malaysia, maka beliau harus bertanggungjawab dan menghadapi proses undang-undang.

“Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam Perlembagaan. Tetapi ia bukan mutlak. Tiada siapa juga, walau seorang ulama besar mahupun negarawan, mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status, kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Zakir telah dilayan dengan terhormat di negara ini dan sebagai pendakwah yang terkemuka, beliau perlu bertanggungjawab untuk berlaku bijaksana dan menunjukkan teladan bahawa Islam itu adalah kebaikan untuk semua.

“Jika Zakir tidak berupaya melakukan itu, maka beliau tidak boleh menyalahkan kerajaan Malaysia jika bertindak,” katanya.

Berita Harian X