Isnin, 19 Ogos 2019 | 3:38pm
KETUA Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyampaik ucapan ketika Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, SUK. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyampaik ucapan ketika Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor 2019 di Dewan Jubli Perak, SUK. - Foto Saddam Yusoff

Separuh kes rasuah babitkan kakitangan awam dan golongan muda

SHAH ALAM: Separuh daripada kes rasuah di negara ini membabitkan penjawat awam dan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata, statistik SPRM menunjukkan sebanyak 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari 2014 hingga Jun tahun ini, adalah kakitangan awam.

“Manakala 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan SPRM bagi tempoh sama adalah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah

“Kebanyakan kesalahan rasuah yang berlaku pula membabitkan kakitangan dalam sektor perolehan. Sudah pasti perkara ini amat membimbangkan kita,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Melafazkan dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) EXCO Kerajaan Selangor di di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, kajian yang dijalankan SPRM juga mendapati sebanyak 22.1 peratus responden penjawat awam mengakui sanggup menerima rasuah.

“Penjawat awam mengaku mereka sanggup terima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan. Saya sekali lagi tegaskan ia sesuatu yang amat membimbangkan kita.

“Perkara ini perlu segera diperbetulkan. Ia menuntut komitmen semua pihak untuk bersama-sama dengan SPRM memerangi perkara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, negeri lain perlu mencontohi langkah EXCO kerajaan Selangor menandatangani IBR.

“Usaha kerajaan Selangor perlu menjadi ikutan EXCO di negeri lain. Saya harap semua negeri, agensi dan jabatan di peringkat Persekutuan dan negeri menandatangani IBR,” katanya.

Berita Harian X