Ahad, 18 Ogos 2019 | 8:34pm
PENGERUSI Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Mahfuz Omar. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Penalti rendah, pemilik ambil mudah

KUALA LUMPUR: Penalti bagi kesalahan berkaitan operasi dan penyelenggaraan lif di negara ini, disifatkan tidak lagi relevan serta memerlukan kajian semula selepas 49 tahun tidak disemak.

Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Datuk Mahfuz Omar, berkata ini bagi memastikan pemilik bangunan dan pengendali lif tidak mengambil mudah aspek keselamatan pengguna kemudahan terbabit.

Beliau berkata, penalti maksimum bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan (Lif Elektrik Penumpang-Penumpang dan Barang-Barang) Kilang dan Jentera 1970 adalah tidak lebih RM1,000 manakala kadar kompaun maksimum, RM500.

Katanya, nilai kompaun itu amat rendah berbanding risiko nyawa orang ramai akibat kecuaian atau kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bagaimanapun peraturan lif sedia ada masih relevan kerana mengikut kod reka bentuk lif yang diterima pakai di seluruh dunia dan sentiasa ditambah baik.

“Penalti rendah bukan punca utama pemilik bangunan tidak atau lambat memperbaharui Sijil Perakuan Kelayakan (CF). Lebih tepat, mereka takut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memberi notis jika lif tidak selamat berikutan kegagalan dalam penyelenggaraan,” katanya kepada BH di sini.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, berkata JKKP mengeluarkan kompaun RM13,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan lif dari Januari hingga Julai tahun ini, membabitkan 14 kes, termasuk pemilik lif dan orang yang kompeten (OYK), iaitu juruteknik dilantik pengendali lif.

Bagi tempoh sama, katanya, JKKP turut mengeluarkan penalti sebanyak RM90,000 atas pelbagai kesalahan berkaitan lif, membabitkan tujuh kes, termasuk pemilik lif dan OYK.

“Kompaun dikenakan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada pemilik lif dan OYK terhadap keselamatan lif yang membabitkan nyawa pengguna lif.

“Kesalahan biasa dilakukan OYK adalah gagal menjalankan pemeriksaan berkala mengikut jadual kedua, iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan.

“Bagi pemilik lif pula, kompaun yang biasanya dikenakan adalah mengikut peruntukan 10(1), Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Pemberitahu, Perakuan Kelayakan dan Pemeriksaan) 1970, iaitu gagal memastikan lif yang digunakan mempunyai CF.

“Kompaun ini dikeluarkan selepas pemilik lif atau OYK berkenaan gagal mematuhi amaran dikeluarkan” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP), pemilik bangunan perlu bersama OYK ketika kerja penyelenggaraan dilakukan dan perlu menandatangani selepas berpuas hati dengan kerja-kerja dilakukan.

“Namun, ada yang tidak melakukan kerja dengan integriti, tidak bersama ketika kerja penyelenggaraan dibuat, tetapi menandatangani borang semakan,” katanya.

“Perincian secara teknikal keadaan semasa semua lif hendaklah disediakan OYK dan disahkan wakil pemilik bangunan.

“Menerusi Peraturan 31(2) pemilik hendaklah membuat perjanjian dengan firma diluluskan JKKP untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan lif,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihak Majlis Negara turut mencadangkan kos penyelenggaraan dimasukkan ke dalam cukai pintu kerana sukar mendapat kerjasama rakyat membayar kos penyelenggaraan bulanan.

“Jika kita lihat negara maju, mereka membudayakan penyelenggaraan, masih ada yang menggunakan lif antik kerana ia masih selamat digunakan,” katanya.

KERATAN akhbar BH 5 Ogos lalu.

Berita Harian X