Ahad, 18 Ogos 2019 | 1:15pm
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa taufan Lekima di Pejabat Daerah Pokok Sena. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar (kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa taufan Lekima di Pejabat Daerah Pokok Sena. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Isu Dr Zakir, Kulasegaran tiada kaitan dengan kerajaan - Mahfuz

ALOR SETAR: Ketegangan membabitkan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dengan penceramah bebas, Dr Zakir Naik tiada kaitan dengan kementerian dan kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata sebarang kenyataan yang dikeluarkan Kulasegaran berhubung Dr Zakir adalah pendirian peribadi dan mewakili partinya saja iaitu DAP.

Katanya, kenyataan itu tidak menjejaskan Kementerian Sumber Manusia dan yakin Kulasegaran akan menanganinya secara profesional.

“Itu (isu Dr Zakir dan Kulasegaran) tiada kaitan dengan kerajaan, itu masalah politik parti mereka (DAP), saya tak campur, itu bukan ada kaitan dengan soal status dia sebagai menteri, tak jejaskan apa-apa di kementerian.

“Saya yakin tidak wujud masalah lain dalam kementerian kami, setakat ini tak ada anak Melayu Islam berhenti, Ketua Setiausaha kementerian masih bekerja, dia seorang Melayu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Mangsa Taufan Lekima di Pejabat Daerah Pokok Sena, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Kulasegaran menegaskan tidak akan memohon maaf kepada Dr Zakir berhubung kenyataannya dan menggesa tindakan diambil terhadap pendakwah kelahiran India itu.

Beliau yang juga Naib Presiden DAP, bersedia untuk ke mahkamah bagi berdepan dengan Dr Zakir susulan kenyataannya.

Pada masa sama, tindakan Menteri Sumber Manusia itu menggunakan surat berserta logo kementeriannya bagi mendesak tindakan terhadap Dr Zakir mendapat kecaman pelbagai pihak di media sosial Selasa lalu.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung kebenaran program ceramah Dr Zakir terutama dalam Parlimen berkenaan.

Namun, bagi beliau, Kedah sudah mempunyai ramai pendakwah yang sesuai dengan kefahaman penduduknya.

“Di Pokok Sena sendiri sudah ada penceramah, kita juga ada pondok-pondok mengajar ilmu agama sesuai dengan cara kita.

“Terpulang kepada polis untuk memberi kebenaran berceramah di sini atau tidak,” katanya.

Berita Harian X