Ahad, 18 Ogos 2019 | 11:00am

Qasidah jalanan kumpul dana tahfiz

TAIPING: Kehidupan tanpa kasih sayang keluarga tidak melenturkan semangat 25 kanak-kanak dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/Miskin Amal Nur Qaseh Kamunting, membuat persembahan qasidah berkonsepkan muzik jalanan atau ‘busker’ di Bazar Cross Street (BCS), di sini.

Semangat mereka mengalunkan lagu puji-pujian kepada Yang Maha Esa serta luahan berunsur kerohanian itu menarik tumpuan pengunjung berbilang kaum yang mengunjungi bazar berkenaan yang kebiasaannya dibuka bermula jam 6 petang setiap hujung minggu.

Selain membuat kutipan melalui tabung yang diletakkan sewaktu persembahan berlangsung, jualan amal turut dilakukan membabitkan barangan khususnya pakaian terpakai sumbangan orang ramai dengan harga serendah RM5 sehelai.

Pendekatan itu adalah cetusan idea Persatuan Sukarelawan Harapan Larut Matang dan Selama (PSHLMS) sebagai salah satu usaha mengumpulkan dana bagi membantu asrama tahfiz terbabit.

Pengerusi PSHLMS, Md Zukry Ahmad, berkata, aktiviti berkenaan adalah kesinambungan daripada program Infak Bersama Asnaf Larut Matang dan Selama yang berlangsung pada minggu sebelumnya membabitkan 10 penerima dari kategori keluarga asnaf.

Beliau berkata, sumbangan dalam bentuk barangan dapur yang diberikan melalui program infak itu diperoleh menerusi kutipan dari orang ramai dengan tujuan meringankan beban penerima dari kalangan asnaf setempat sempena menyambut Aidiladha yang lalu.

Katanya, atas persetujuan penyumbang, sebahagian barangan yang disumbangkan khususnya pakaian terpakai dijual semula bagi mendapatkan wang untuk membiayai keperluan asrama tahfiz terbabit.

“Sebenarnya kita sudah menjalankan program ‘1 minggu 1 asnaf’ sebelum dari itu lagi di mana sukarelawan kami akan mengunjungi satu rumah asnaf pada setiap hujung minggu bagi menyampaikan sumbangan.

“Kebiasaannya sukarelawan kami bertindak selaku orang tengah menjalankan pungutan sebelum diserahkan kepada penerima yang memerlukan,” katanya.

Setakat ini PSHLMS mempunyai tujuh ahli jawatankuasa dan 122 pengikut yang dikumpulkan menerusi kumpulan dalam aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Cross Street (PPBCS), Aladib Jais, berkata operasi bazar dilanjutkan sepanjang seminggu bersempena cuti pertengahan penggal kedua persekolahan berbanding kebiasaannya yang dibuka hanya pada malam hujung minggu.

Kanak-kanak dari Asrama Tahfiz Anak Yatim/ Miskin Amal Nur Qaseh Kamunting membuat persembahan di Bazar Cross Street, Taiping. - NSTP/Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X