Sabtu, 17 Ogos 2019 | 4:06pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada majlis pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang diadakan di Trek Stadium Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada majlis pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang diadakan di Trek Stadium Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Syed Saddiq enggan tunduk dengan tekanan supaya letak jawatan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman enggan tunduk kepada tekanan supaya meletak jawatan selaku Menteri Belia dan Sukan, berikutan tidak sependapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung desakannya supaya pendakwah bebas Dr Zakir Naik dihantar balik ke India.

Sebaliknya, Syed Saddiq berkata, beliau menyerahkan kepada Kabinet dan Perdana Menteri bagi menentukan nasib dan kedudukannya selaku Menteri Belia dan Sukan.

“Saya tertakluk kepada keputusan Kabinet dan saya akan mengikut apa sahaja keputusan YAB Perdana Menteri (sama ada kena lepas jawatan sebagai anggota Kabinet atau tidak),” katanya ketika ditemui pemberita di majlis pelancaran Hari Terbuka Stadium Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian ketika mengulas gesaan PAS supaya mana-mana Menteri Kabinet yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri dalam perkara dasar negara, termasuk isu Dr Zakir Naik supaya meletakkan jawatan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, dipetik sebagai berkata PAS juga melihat sekiranya Perdana Menteri mendapati mana-mana Menteri Kabinet sering kali bertindak bercanggah dengan dasar yang hendak dibawa olehnya demi kepentingan negara dan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saddiq menafikan bahawa beliau hanya lantang bersuara mengenai kes Dr Zakir Naik berbanding isu lain, termasuk penghinaan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tulisan Jawi serta Khat.

“Dakwaan itu adalah satu penipuan paling besar sebagai contoh dalam isu tulisan jawi, misalnya Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah sayap parti pertama yang mengadakan perjumpaan dan menyerahkan memorandum kepada Dong Zong.

“ARMADA juga menjadi pertubuhan pertama membuat laporan polis terhadap seorang jutawan yang mengeluarkan kenyataan menghina anggota ATM, malah saya juga turut mengeluarkan kenyataan bagi mengecam tindakan itu menerusi media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq yang juga Ketua ARMADA, berkata banyak pihak menyebarkan maklumat tidak benar mengenainya kerana mereka hanya mahu mendengar pandangan berpihak kepada mereka sahaja.

Sebelum ini, Takiyudddin dipetik sebagai berkata Perdana Menteri perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan perlantikan Menteri berkenaan berdasarkan peruntukan Perkara 43(5), Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43(2)(b), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang Menteri Kabinet dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat dari Perdana Menteri.

“Oleh itu Menteri Kabinet tidak boleh mengambil pendirian yang berbeza dengan Perdana Menteri dalam hal berkaitan dasar negara terutama setelah diputuskan oleh Kerajaan melalui Kabinet. Tindakan terbabit adalah suatu pelanggaran konsep tanggungjawab bersama (ministerial responsibility) malahan dianggap suatu keengkaran (insubordination).

“Oleh itu PAS menggesa mana-mana Menteri Kabinet yang tidak sehaluan dengan Perdana Menteri dalam perkara dasar negara perlu meletakkan jawatan kerana kesan tindakan itu akan menimbulkan suasana huru hara dan ketidakstabilan negara dan kesannya akan terbeban kepada seluruh rakyat jelata,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Biarpun Takiyuddin tidak menyatakan dengan jelas isu mencetuskan perbezaan pandangan antara Perdana Menteri dan ahli Kabinet namun difahamkan ia berkaitan dengan desakan beberapa anggota Jemaah Menteri yang mahu pendakwah bebas Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India berikutan pelbagai isu timbul.

Sebelum ini, media melaporkan tiga Menteri Kabinet, iaitu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sepakat mendesak kerajaan menghantar pulang Dr Zakir ke India berikutan kenyataan berbau perkauman ketika berceramah di Kota Bharu, Kelantan, pada minggu lalu.

Berita Harian X