Sabtu, 17 Ogos 2019 | 1:46pm
TIMBALAN Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye (tengah) hadir pada majlis perasmian program ‘Asia Ceo Forum 2019’ di BBCC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tidak saman perokok sebelum 1 Januari 2020

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak akan bertindak drastik menyaman perokok, sebaliknya mengutamakan pendidikan berterusan bagi menyedarkan mereka termasuk orang awam supaya tidak merokok di restoran dan premis makanan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, sehingga 1 Januari 2020, kementerian cuma akan mempertingkatkan usaha untuk mendidik perokok supaya tidak merokok di premis terbabit.

Selain itu, katanya, kementerian juga menyediakan kemudahan di 731 klinik kesihatan seluruh negara dengan bayaran hanya RM1 bagi membantu perokok berhenti atau mengurangkan tabiat merokok mereka.

“Ketika kita melaksanakan dasar (larangan merokok di kedai makan) ini, penekanan lebih kepada pendidikan berbanding denda atau saman. Jadi, kita masih lagi dalam peringkat pendidikan dan sehingga 1 Januari 2020), kita akan pertingkat usaha pendidikan.

“Perokok juga boleh dapatkan ubat nasihat daripada doktor pakar dengan bayaran hanya RM1. Saya harap perokok ambil kesempatan ini untuk berhenti merokok.

“Kita harap rakyat, khususnya mereka yang merokok, boleh menerima peraturan yang kita laksanakan bukan saja untuk jaga kesihatan mereka (perokok), tetapi juga kesihatan orang sekeliling. Kita tahu masih ada ketidakpatuhan khususnya di luar bandar, tetapi kita usahakan dari segi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum CEO Asia 2019 di Bukit Bintang City Centre (BBCC) di sini, pagi tadi.

Mengulas sikap segelintir pemilik kedai makan yang dilihat culas melaksanakan dasar larangan merokok, Dr Boon Chye berkata pemantauan pegawai kementeriannya mendapati pemilik premis berkenaan ada mempamerkan notis larang merokok di dalam premis mereka.

Apabila notis larangan merokok dipamerkan, beliau berharap pemilik atau pekerja kedai makan tidak menggalakkan tabiat merokok dalam premis berkenaan.

“Apabila kita lawat premis makanan, kebanyakan mereka sudah melaksanakan tanggungjawab dengan mempamerkan notis larangan merokok. Hampir 100 kedai makan mematuhi syarat dengan mempamerkan notis berkenaan.

“Jadi, kita juga harap mereka tak galakkan merokok dalam premis,” katanya.

Sebelum ini, kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok turut membabitkan semua premis makanan antaranya restoran tertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Larangan merokok itu menyatakan perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Pada 22 Jun lalu, Dr Boon Chye dipetik berkata, penguatkuasaan pendidikan akan diteruskan sehingga hujung tahun ini berikutan tempoh untuk mendidik dan mengubah sikap memerlukan masa.

Menurutnya, bermula 1 Januari tahun depan, Kementerian Kesihatan akan terus menguatkuasakan larangan dan mengeluarkan saman sekiranya masih ada perokok tidak mematuhi peraturan itu.

Berita Harian X