Jumaat, 16 Ogos 2019 | 6:58pm
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman

Pelatih tidak terima bayaran boleh lapor pada KBS

PUTRAJAYA: Pelatih yang tidak menerima bayaran ketika menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan pada kadar baharu boleh membuat laporan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian atau agensi di bawah kementeriannya yang terbabit boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal melaksanakan apa yang sudah diputuskan Kabinet.

Katanya, beliau akan memastikan semua kementerian, agensi dan jabatan di bawah kerajaan akan melaksanakan perkara itu.

“(Sekiranya gagal laksanakan) maklumkan dan saya sendiri akan pastikan pihak Menteri (kementerian yang berkenaan) akan ambil maklum serta tindakan susulan.

“Semalam saya sudah bincangkan perkara ini dengan panjang lebar, perbincangan itu juga turut dihadiri oleh Menteri dan Ketua Setiausaha dari pelbagai kementerian.

“Untuk melaksanakan hal ini, pertama sekali saya minta kementerian terbabit untuk pastikan peruntukan mereka terlebih dulu supaya mencukupi sebelum mengambil pelatih praktikal ini dan menggajikan mereka.

“Kementerian Kewangan juga sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan piawaian rasmi akan dikeluarkan oleh kementerian itu dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Keusahawanan Digital e-USAHAWANAN Young Heroes KBS-Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata dalam perbincangan berkenaan pihaknya turut menerima laporan, walaupun wujud piawaian pemberian elaun kepada pelatih praktikal namun ia masih tidak dilaksanakan oleh pihak kementerian.

“Saya mendapat tahu ada kementerian yang tidak laksanakan piawaian pemberian elaun berkenaan. Ada satu kementerian ini mengambil lebih 300 pelatih praktikal tapi hanya membayar kepada 50 hingga 60 pelatih saja.

“Sebab itu kali ini, saya mahu kementerian melihat kepada bajet mereka terlebih dulu. Sekiranya mencukupi baru boleh mengambil pelatih untuk berada di bawah jabatan atau agensi mereka,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq mengumumkan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal dinaikkan daripada RM300 kepada RM900 sebulan. Peningkatan kadar elaun itu akan dikuatkuasa pada September ini.

Berita Harian X