Jumaat, 16 Ogos 2019 | 4:15pm
MENTERI Tenaga, Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
MENTERI Tenaga, Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Kempen kurang plastik bulan depan

SHAH ALAM: Kerajaan akan mengadakan kempen kesedaran kepada orang ramai berhubung pengurangan penggunaan plastik, bulan depan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata kempen berkenaan dijalankan sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 21 Oktober depan.

Katanya, sepanjang bulan depan, kempen secara besar-besaran itu akan diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan kesan penggunaan plastik.

“Sepanjang kempen ini, kerajaan akan tekankan langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan penggunaan plastik.

“Kita juga akan tunjukkan bagaimana cara untuk mengatasi masalah penggunaan plastik ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama Sarung Tangan Nitrile BioGreen Biodegradable antara Top Glove, Mr DIY dan WWF Malaysia, di sini, hari ini.

Mei lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk mendidik orang awam sebelum penggunaan beg plastik diharamkan di seluruh negara.

Ini berikutan tahap kesedaran orang ramai mengenai isu itu masih rendah walaupun larangan penggunaannya dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka dan Johor.

Sementara itu, mengulas lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd diperbaharui selama enam bulan, Bee Yin berkata, itu adalah keputusan muktamad Kabinet.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tetap dengan pendirian sebelum ini iaitu mengenakan dua syarat kepada Lynas untuk pembaharuan lesen.

Pada 4 Disember lalu, kementerian mengenakan dua syarat pembaharuan lesen Lynas Advance Materials Plant (LAMP) antaranya menghantar sisa mengandungi bahan radioaktif keluar dari negara ini.

LAMP perlu memastikan sisa Water Leached Purification Residue (WLP) yang mengandungi bahan radioaktif perlu dihantar keluar dari Malaysia dan bagi sisa buangan terjadual Neutralization Underflow Residue (NUF) yang bukan radioaktif.

LAMP perlu mengemukakan suatu pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum ia boleh dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan mengikut Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Semalam, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) dalam satu kenyataan berkata, pembaharuan lesen Lynas yang beroperasi di Gebeng Kuantan kali ini disertakan dengan beberapa syarat utama termasuk pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).

Berita Harian X