Jumaat, 16 Ogos 2019 | 2:50pm
KETUA Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze.
KETUA Pegawai Eksekutif Lynas Amanda Lacaze.

Lynas yakin penuhi syarat

KUANTAN: Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) hari ini yakin dapat memenuhi syarat Jemaah Menteri untuk membina Kemudahan Deposit Kekal (PDF) untuk sisa pembersihan meluluhkan air (WLP) oleh kilang bahan nadir , di Gebeng dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze, berkata Lynas akan mempercepatkan rancangan dan pembinaan PDF.

Lynas dikehendaki mendapatkan persetujuan bagi lokasi dalam tempoh enam bulan.

“Rangka kerja Perancangan PDF dan Perancangan Pemilihan Kawasan bagi Lynas Malaysia diluluskan oleh Lembaga Perlesesanan Tenaga Atomik (AELB). Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri Pahang sudah memberi kelulusan bertulis untuk satu lokasi PDF di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini konsisten dengan cadangan Jawatankuasa Pemeriksaan Eksekutif kerajaan Pakatan Harapan pada Disember 2018 atau alternatifnya, Lynas boleh mendapatkan kebenaran dari negara lain untuk menerima bahan berkenaan.

Lacaze berkata, Lynas sebelum ini mendeposit sejumlah US$42.2 juta (RM176.5 juta) dengan AELB secara tunai dan bon bersandarkan tunai, dan dikehendaki membelanja 0.5 peratus daripada jualan kasar tahunan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan penggunaan sisa WLP sebagai tanah kondi dalam pertanian.

Tanah kondi ialah sejenis tanah yang diperoleh daripada sisa yang dihasilkan oleh di kilang bahan nadir, Lynas.

Kerajaan memperbaharui lesen Lynas kepada enam bulan lagi tetapi dengan tiga syarat.

* Lynas perlu mengalihkan proses keretakan dan larut resap, yang kini dikendalikan di kilangnya di Gebeng di sini, dikeluarkan dari negara ini.

* Lynas perlu mengenal pasti satu kawasan spesifik untuk mengendalikan PDF dan mendapatkan kelulusan bertulis daripada kerajaan negeri bagi kegunaan kawasan berkenaan.

* Lynas perlu menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berhubung dengan penggunaan sisa radioaktif WLP sebagai tanah kondi di tanah pertanian.

Bagaimanapun, di bawah perlesenan baru, Lacaze berkata, tidak ada keperluan untuk membelanjakan 0.5 peratus ke atas penyelidikan dan pembangunan, namun peratus yang sama akan dikemukakan kepada kerajaan sebagai tambahan keselamatan sehingga keretakan dan larut resap mula beroperasi di Australia.

“Bahagian yang berkenaan daripada jumlah keselamatan itu dijangka diperoleh bagi projek pembinaan PDF. Bagaimanapun, maklumat lanjut akan disediakan berhubung kos dan jadual masa apabila projek ini berlangsung,” katanya.

Lacaze berterima kasih kepada kerajaan di atas keputusan membenarkan Lynas tempoh lanjutan enam bulan bagi lesen operasi dengan syarat berkenaan, dan berharap itu akan menggalakkan perniagaan antarabangsa yang lain melabur dalam perkilangan hiliran di Malaysia.

“Kami optimis bahawa keputusan ini akan menamatkan permainan politik terhadap Lynas sejak beberapa tahun lalu. Lynas akan terus memberi sumbangan positif kepada ekonomi Malaysia dan wawasan industri 4.0 Malaysia,” katanya.

Lynas, menurut Lacaze menyatakan bahawa operasi mereka selamat dan mewujudkan kira-kira 1,000 jawatan dan membelanjakan lebih RM600 juta dalam ekonomi tempatan setiap tahun.

Lacaze berkata, Lynas akan bekerja erat dengan masyarakat bagi memastikan mereka akan mendapat maklumat terkini dan tepat mengenai operasinya. – BERNAMA

Berita Harian X