Jumaat, 16 Ogos 2019 | 9:50am
Gambar fail, ahli keluarga Nora Anne Quoirin, ketika perjumpaan tertutup bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) susulan mangsa yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto ihsan PDRM

Wan Azizah dijadual bertemu keluarga Nora Anne pagi ini

SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan dengan keluarga remaja Ireland Nora Anne Quoirin, yang ditemukan mati pada Selasa lalu, pada 10.30 pagi ini.

Pertemuan itu dirancang diadakan di resort penginapan keluarga berkenaan yang juga tempat Nora Anne,15, dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian selama dua minggu.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah dijadual mendengar taklimat daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop di Balai Polis Pantai mengenai kes yang menimpa remaja anak istimewa itu.

Semalam, Mohamad dalam sidang media mengesahkan Nora Anne meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan.

Mohamad berkata, hasil bedah siasat mendapati remaja malang itu mungkin sudah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda-tanda perbuatan jenayah, selain remaja itu tidak dirogol.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat gadis itu dilaporkan hilang.

Sementara itu, tinjauan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pagi ini, mayat Nora Anne masih belum dituntut oleh anggota keluarga. – BERNAMA

Berita Harian X