Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:15pm
Keadaan kawasan sekitar Pusat Kawalan Kusta Negara yang dikatakan diceroboh oleh pekerja warga asing yang bekerja di pusat nurseri berdekatan dengan Pusat Kawalan Kusta Negara. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Tapak PKKN Sg Buloh milik Kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menjalankan tindakan penguatkuasaan di premis Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh kerana status tanah ditukarkan daripada rizab tanah Persekutuan kepada hak milik Kerajaan Selangor pada 2001.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, berkata tapak PKKN itu dicadangkan sebagai tanah rizab Kerajaan Selangor dan akan didaftarkan atas nama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Sehubungan itu, katanya, sebarang tindakan penguatkuasaan susulan wujud kes pencerobohan didalangi warga asing yang menjalankan kegiatan penanaman pokok hiasan di kawasan terbabit seperti dilaporkan media hanya akan dilaksanakan Kerajaan Selangor selaku pemilik tanah.

“Selain itu, cadangan pewartaan PKKN sebagai Warisan Kebangsaan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan seterusnya sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tidak membenarkan sebarang tindakan perobohan struktur.

“Hal ini memandangkan peruntukkan mengikut UNESCO menggariskan supaya struktur asal perlu dikekalkan bagi memenuhi keperluan pewartaan tapak warisan berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada BH, hari ini.

Semalam, BH mendedahkan selepas tiga tahun pencerobohan pendatang asing di PKKN didedahkan akhbar ini, keadaan terkini tidak menyaksikan banyak perubahan apabila masih ada kegiatan perusahaan penanaman rumput dan nurseri.

Pekerja warga asing pula dipercayai menyusup ke negara ini tanpa permit sah dengan majoritinya dari Indonesia dan sebahagian kecil ialah rakyat Bangladesh.

Wartawan BH yang meninjau kediaman bekas pesakit kusta juga mendapati ia masih berpenghuni, dipercayai dijadikan tempat berlindung warga asing berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam, dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak menceroboh tanah di kawasan PKKN, malah wujud pelanggaran undang-undang oleh pihak terbabit.

Dr Chaw Min berkata, PKKN yang diwujudkan selaras Enakmen Kusta 1926 dan siap dibina pada 1930 ketika era pemerintahan Kerajaan British pernah dicadang untuk dirobohkan kerana beberapa kemudahan berkenaan gagal berfungsi, selain mengalami kerosakan dan tidak diperlukan.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu ditangguhkan susulan tapak PKKN dicadangkan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Kementerian Kesihatan mengambil maklum mengenai isu pencerobohan ini dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi membantu pihak berkaitan dalam usaha menyelesaikannya.

“Kita juga bersedia memberikan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan tapak PKKN itu dapat dipelihara sebaiknya dan dijadikan Warisan Kebangsaan serta Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya.

1021 dibaca
Berita Harian X