Khamis, 8 Ogos 2019 | 10:36pm

Sultan Nazrin lancar pameran lukisan Yusof Ghani

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan pameran lukisan hasil karya pelukis terkenal Yusof Ghani, di Galeri Prima, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), malam ini.

Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat dan meneliti 30 karya abstrak Yusof bertema ‘Segerak VIII: Utopia’.

Selesai majlis itu, baginda turut melawat dan meninjau operasi Jabatan Pengarang NSTP.


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan merasmikan Pameran Seni SEGERAK VIII - UTOPIA karya Yusof Ghani di Galeri Prima. NSTP/Aswadi Alias.


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar bersama pengurusan kanan NSTP serta tetamu kehormat selepas merasmikan Pameran Seni SEGERAK VIII - UTOPIA karya Yusof Ghani (duduk 4 dari kiri) di Galeri Prima. NSTP/Halimaton Saadiah


SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat ruang pameran selepas merasmikan Pameran Segerak VIII - Utopia anjuran Galeri Prima di NSTP Bangsar. NSTP/Yusni Ariffn


SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim (kiri) berkenan merasmikan Pameran Seni SEGERAK VIII - UTOPIA karya Yusof Ghani di Galeri Prima. NSTP/Aswadi Alias

Yang turut mengiringi, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid; Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar dan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial MPB, Mustapha Kamil Mohd Janor.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Rashid Yusof dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein.

Pameran karya seni Yusof dipamerkan di Galeri Prima bermula 1 sehingga 18 Ogos ini dengan kerjasama Curate Henry Butcher dan PINKGUY Gallery.

Pameran lukisan Segerak merangkumi siri Segerak II, III, IV, V, VI dan VII pernah dipamerkan di luar negara termasuk London, Madrid dan Hong Kong.

Selain Segerak, Yusof sebelum ini turut dikenali dengan lukisan bertema Tari, Topeng, Wayang, Hijau, Biring, Wajah dan Ombak.

Bagi kumpulan karya Segerak, ia pertama kali dipamerkan pada 2004 dan mengalami evolusi menerusi beberapa episod - Segerak II, III, IV, V, VI dan VII.

Mengikut pelukis, Segerak membolehkan dirinya meneroka figura manusia sebagai simbol kehidupan yang diterjemah kepada hasil abstrak bagi menggambarkan realiti kehidupan insan.

“Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya, kembara dan warisan adalah sumber tenaga, daya serta kekuatan yang dirasai sebelum digarap serta diterjemahkan menerusi perasaan melukis dan mewarna,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Galeri Prima, Azlynn Aziz, berkata Segerak VIII memaparkan seni pergerakan figura yang lebih halus dan mendalam.

“Idea dan ekspresi dipersembahkan pada hasil karya adalah menggambarkan peristiwa yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Pameran dibuka kepada umum setiap Isnin sehingga Jumaat mulai jam 10 pagi sehingga jam 6 petang.

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melihat buku cenderamata. Turut sama, artis, Yusof Ghani (kanan) dan Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Syed Hussian Syed Junid (dua,kiri) pada Pameran Segerak VIII - Utopia anjuran Galeri Prima di NSTP Bangsar. NSTP/Yusni Ariffn
Berita Harian X