Selasa, 6 Ogos 2019 | 3:28pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. - NSTP/Khairunisah Lokman

TASKA di tempat kerja keperluan penting

KOTA KINABALU: Semua kerajaan negeri diminta bekerjasama menyediakan peruntukan dalam bajet negeri masing-masing bagi mewujudkan kemudahan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di bangunan jabatan dan agensi kerajaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata usaha mewujudkan TASKA di tempat kerja bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, bahkan harus mendapat kerjasama daripada semua pihak, termasuk kerajaan negeri.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah menulis surat kepada semua Ketua Menteri dan Menteri Besar bagi mendapatkan kerjasama semua negeri menyediakan bajet masing-masing tahun ini juga untuk mewujudkan kemudahan TASKA di tempat kerja.

“Kita mahu sampaikan mesej kepada semua agensi kerajaan supaya jangan tunggu dana untuk mula (wujudkan TASKA). Daripada bajet operasi mereka, jika ia dirancangbaik, kalau kita letakkan ini sebagai keutamaan, pasti kita boleh mulakan. Bajet kecil pun kita boleh mulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di TASKA Pelangi, Bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Katanya, inisiatif berkenaan seharusnya dimulakan di bangunan jabatan atau agensi kerajaan terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke sektor swasta.

“Kita sudah buat audit dan didapati ada 541 jabatan serta agensi kerajaan di seluruh negara yang masih belum mewujudkan TASKA di tempat kerja. kita sudah minta mereka memulakan operasi dengan mencari bajet sendiri untuk wujudkannya kerana ia adalah satu keperluan untuk semua pekerja kita.

“Kalau dalam sektor awam kita abaikan, bagaimana kita mahu lanjutkan polisi ini ke sektor swasta. Jadi kita mulakan dengan kita dahulu (agensi kerajaan),” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung lawatannya itu, Hannah berkata, peruntukan RM10 juta diberikan untuk penubuhan TASKA di tempat kerja sektor awam dan daripada jumlah itu, sebanyak 66 TASKA baharu berjaya diwujudkan.

“Melalui RM10 juta itu juga, sebanyak 10 peratus diagihkan kepada enam agensi kerajaan di Sabah. Antaranya TASKA di Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumlah RM193,000, Jabatan Penjara Negeri Sabah (RM21,000), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Cawangan Sandakan (RM180,000), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (RM145,000), Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (RM186,00) DAN Jabatan Cetak Kerajaan Sabah (RM198,400),” katanya.

Berita Harian X