Isnin, 5 Ogos 2019 | 11:47pm

EAC adakan mesyuarat kali kelima, bincang pelbagai cadangan

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), hari ini, mengadakan mesyuarat kali kelima bagi membincangkan cadangan yang boleh dilaksanakan segera untuk menggiatkan semula aktiviti perniagaan dan merancakkan pelaburan domestik.

Urus Setia EAC, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, dalam kenyataannya, hari ini, berkata mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut membincangkan cadangan usaha untuk meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“Ini selaras usaha kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan dalam suasana ekonomi global tidak menentu,” menurut kenyataan itu.

Katanya, isu seperti pembiayaan perumahan, tahap keberhutangan isi rumah serta pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana turut dibincangkan.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat EAC hari ini juga membincangkan cadangan penambahbaikan Dasar Pendidikan Negara dengan membabitkan semakan semula dasar pendidikan dari peringkat prasekolah hingga universiti.

“Cadangan ini akan dibuat dengan mengambil kira pandangan dan input daripada semua pihak pemegang taruh serta pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesejahteraan hidup rakyat turut diberi perhatian.

“Sejajar hasrat itu, Program Sarapan Pagi (PSP) di sekolah bawah Kementerian Pendidikan dibincangkan ke arah mewujudkan amalan gaya hidup sihat, terutama dalam kalangan murid pada peringkat awal persekolahan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X