Isnin, 5 Ogos 2019 | 2:20pm
MENTERI Industri Utama, Teresa Kok pada sidang media selepas Majlis International Business Conference: Bamboo as a Driver for Economic Growth Forest Beyond Timber – New Wealth Creation for The Nation, di Hotel Seri Pacific. - Foto Aswadi Alias

Kerajaan perkenal perladangan komuniti buluh pada RMKe-12

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan perladangan komuniti buluh pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) termasuk kemudahan pemprosesan in-situ bagi mewujudkan lebih banyak aktiviti tambah nilai pada rantaian bekalan industri itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kementeriannya ketika ini sedang mengkaji kemungkinan mewujudkan tapak semaian komersial bagi memastikan bekalan bahan penanaman bagi perladangan buluh mencukupi di negara ini.

“Pada peringkat kementerian, kami mengadakan beberapa perbincangan industri ini dan mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri. Jadi, saya merancang mengunjungi beberapa menteri besar, yang negeri di bawah pentadbiran mereka, buluh tumbuh secara semula jadi,” katanya selepas Persidangan Perniagaan Antarabangsa: Buluh Sebagai Pemacu Pertumbuhan Hutan Selain Kayu,” di sini, hari ini.

Perdagangan buluh antarabangsa bernilai berbilion dolar setiap tahun. Mengikut Pertubuhan Buluh dan Rotan Antarabangsa, jumlah eksport produk berasaskan buluh global bernilai AS$68.8 bilion pada 2018, berbanding AS$60 bilion pada 2017, peningkatan 12.8 peratus.

China saja menyumbang 65 peratus daripada eksport buluh global. Bagaimanapun, eksport buluh dan produk buluh dari Malaysia hanya berjumlah RM9.97 juta.

Pasaran eksport utama ialah Jepun, Amerika Syarikat, Singapura dan Afrika Selatan.

Kok berkata, antara negeri di Malaysia yang menanam buluh ialah Perak, Pahang dan Kelantan.

Susulan itu, beliau menggesa semua kerajaan negeri mula menimbangkan penanaman buluh sebagai sumber pendapatan untuk kerajaan negeri dan pekebun kecil.

“Di Malaysia, 74 peratus tanah pertanian ditanam kelapa sawit, tetapi apabila harga minyak sawit mentah jatuh, ia menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

“Ini sebabnya kenapa kami meminta pekebun kecil tidak mengusahakan satu tanaman saja, sebaliknya memanfaatkan industri buluh untuk menampung kerugian mereka. Kita perlu memanfaatkan nilai pasaran tanaman ini,” katanya.

Kok berkata, perladangan komuniti buluh mengambil masa antara lima hingga 10 tahun untuk matang sebelum ia boleh dikomersialkan.

Sementara itu, bagi menyokong pertumbuhan industri ini, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan dana dalam Bajet 2020 untuk penyelidik menjalankan kajian industri buluh di negara ini.

Sehubungan itu, Kok menggalakkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia, institusi pengajian tinggi dan industri untuk meningkatkan kerjasama usaha penyelidikan bagi pembangunan industri berasaskan buluh.

“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada faedah ekonomi dan nilai sosial buluh serta aplikasi baharu dan pembangunan produk buluh,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X