Ahad, 4 Ogos 2019 | 12:21pm
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melawat kawasan kemalangan lif di blok C PPR Kerinchi, kelmarin. - Foto Hafiz Sohaimi

Syor tambah baik penyelenggaraan lif PPR, PA

KUALA LUMPUR: Penggunaan lif tahan lasak atau ‘heavy duty’ seperti lif barang dicadangkan bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang baharu sebagai langkah penambahbaikan dalam aspek penyelenggaraan lif.

Ia antara cadangan dikemukakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan pertemuan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan bersama sembilan syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan kerja penyelenggaraan 528 unit lif di PPR dan Perumahan Awam (PA) DBKL, semalam.

DBKL dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya turut mencadangkan kontraktor bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dalam menjalankan kerja penyelenggaraan lif.

Turut dicadangkan supaya DBKL dan syarikat menyelenggara lif perlu mempunyai pekerja pakar dan mahir di samping mengadakan latihan bersama pegawai teknikal DBKL.

“DBKL juga bercadang untuk menempatkan wakil syarikat penyelenggara lif di setiap PPR dan PA bagi memudahkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku kerosakan lif,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pertemuan turut membincangkan pelbagai aspek dari segi pembekalan, penyelenggaraan dan keselamatan secara menyeluruh.

“DBKL meletakkan keselamatan pengguna lif di PPR dan PA DBKL sebagai keutamaan dan sentiasa berusaha dalam memastikan kemudahan lif sentiasa berkeadaan terbaik dan selamat,” katanya.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, lapan cedera apabila lif yang mereka naiki di Blok C, PPR Kerinchi, di sini, tergelincir dan meluncur ke bawah dari tingkat lima.

Berita Harian X