Ahad, 4 Ogos 2019 | 12:11pm
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengibarkan Jalur Gemilang sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (tiga, kiri) dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim (depan dua, kanan) semasa Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Putrajaya sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Dataran Putrajaya hari ini.

Lif jatuh: Tiada kompromi kalau disebabkan kecuaian

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata beliau tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati cuai berhubung kejadian lif jatuh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

“Kita akan siasat dan tidak akan ada ‘cover-up’ (melindungi). Kalau ia disebabkan kecuaian ataupun kontraktor tidak membuat kerja, semua itu akan terbuka,” katanya selepas melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat Putrajaya di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini.

Khalid berkata, beliau difahamkan satu perbincangan antara Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, kontraktor lif, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) diadakan semalam bagi membincangkan beberapa tindakan yang akan diambil untuk masa hadapan, khususnya dari sudut pemasangan lif dalam bangunan baharu.

Ditanya laporan akhbar yang melaporkan semakan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapati di ibu kota sahaja 6,000 lif tidak memiliki Sijil Perakuan Kelayakan (CF), Khalid berkata beliau tidak pasti mengapa terdapat begitu banyak lif di PPR sahaja.

“Yang saya tahu PPR Kerinchi, itu ada sijil dan disahkan DOSH. Itu adalah maklumat bagi saya. Kalau PPR kita tidak sampai 6,000 lif. Kalau ia (laporan) maksudkan dengan bersama lif dalam bangunan swasta, itu saya tidak tahu.

“Yang mana bangunan yang di bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) sendiri, itu kita tentukan bahawa bangunan yang di bawah jagaan kita.

“Kalau jagaan pihak lain, dari segi penguatkuasaan kena dijaga pemilik bangunan dan DOSH. Saya tak pasti dari mana mereka mendapatkan fakta itu,” katanya.

Ditanya cadangan DBKL yang mahu kontraktor penyelenggara lif di 45 PPR di bawah seliaannya supaya membawa bersama wakil JKKP ketika pemeriksaan pada setiap bulan, Khalid berkata, sistem yang dilaksanakan sekarang adalah bersama-sama DOSH dan JKKP yang turut terbabit dalam soal merangka peraturan dan perundangan berhubung penyelenggaraan.

“Kontraktor yang dibenarkan membuat penyelenggaraan juga disijilkan (ditauliahkan) oleh DOSH dan JKKP. Ia bukan perkara yang pandai-pandai buat. Sama ada ia dilaksanakan atau tidak itu perlu disahkan.

“Hanya di PPR Kerinchi, siasatan awal menunjukkan rekod penyelenggaraan telah diisi dan dilakukan.

“Tetapi sekiranya didapati bahawa (kontraktor) tidak menjalankan tanggungjawab menyelenggara lif dengan sepatutnya, maka tindakan yang akan diambil bergantung kepada siasstan yang kita lakukan,” jelasnya.

Mengenai kempen kibar Jalur Gemilang, Khalid berkata ia diadakan secara serentak dengan program Hari Bebas Kereta Putrajaya anjuran PPj yang bertujuan menyemarak sambutan Hari Kebangsaan tahun ini serta menyuburkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan warga Putrajaya.

Beliau turut menyeru warga Putrajaya dan pengunjung mengibarkan Jalur Gemilang di premis kerajaan, swasta, perniagaan serta kenderaan pejabat serta persendirian mulai sekarang. – BERNAMA

Berita Harian X