Sabtu, 3 Ogos 2019 | 1:15pm
ORANG ramai terutama pelajar-pelajar sekolah mengunjungi Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Selangor 2019 di Pustaka Raja Tun Uda. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin telah menyempurnakan karnival tersebut yang diadakan selama dua hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA
ORANG ramai terutama pelajar-pelajar sekolah mengunjungi Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Selangor 2019 di Pustaka Raja Tun Uda. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin telah menyempurnakan karnival tersebut yang diadakan selama dua hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA

Keputusan status kilang Lynas 15 Ogos ini - Bee Yin

SHAH ALAM: Keputusan sama ada kilang nadir bumi Australia, Lynas Corp Ltd (Lynas), dibenarkan memperbaharui lesen operasinya di Malaysia akan diketahui pada 15 Ogos ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata kerajaan juga akan mengumumkan keputusan sama ada bahan radioaktif daripada kilang Lynas di kawasan perindustrian Gebeng itu, perlu dihantar ke negara asal atau sebaliknya.

“Lesen operasi Lynas sepatutnya tamat pada 2 September ini dan Lynas sudah membuat permohonan untuk memperbaharui lesen pada 2 Ogos, iaitu semalam.

“Syarat permohonan untuk memperbaharui lesen perlu dilakukan sebulan sebelum tarikh lesen tamat.

“Apa pun kita tunggu keputusan Kabinet nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Minggu Sains Negara peringkat Selangor di Perpustakaan Awam Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, beliau akan mengadakan dialog dengan Ahli Parlimen berhubung isu kilang Lynas, pada Selasa ini.

“Ada Ahli Parlimen yang bantah kerana benarkan kilang Lynas beroperasi dan juga isu sisa radioaktif. Jadi, kita akan bertemu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya berhubung bantahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas, beliau berkata, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan.

“Saya rasa kerajaan sudah ambil pandangan semua pihak yang menyuarakan kebimbangan dengan isu alam sekitar.

“Namun, apa yang boleh saya katakan keputusan yang dicapai dalam isu kilang Lynas ini adalah keputusan paling ideal dan terbaik,” katanya.

Pada 31 Mei lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Malaysia akan membenarkan Lynas untuk terus beroperasi di negara ini.

Pengumuman Perdana Menteri itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Akhir tahun lalu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat bagi pembaharuan lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara ini.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar dari Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF), LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.)

Berita Harian X