Sabtu, 3 Ogos 2019 | 12:11pm
AKTIVIS sosial, Tan Sri Lee Lam Thye

Tukar lif lama, tamat tempoh jangka hayat elak insiden berulang

KUALA LUMPUR: Insiden lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, hingga mengakibatkan lapan cedera membuktikan terdapat kelemahan dari aspek penyelenggaraan dan penguatkuasaan undang-undang.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kejadian itu seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak berkaitan terutama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Walaupun tidak membabitkan kematian, kes itu amat menakutkan kerana lif berkenaan terhempas dari tingkat lima menyebabkan lapan orang cedera termasuk mengalami patah kaki.

“Semua PBT termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mengambil langkah sesuai dan tidak berkompromi dari segi keselamatan lif di rumah pangsa awam.

“Mereka perlu menukar lif yang lama serta tamat tempoh hayat selain menyediakan peruntukan mencukupi untuk penyelenggaraan dan mengganti kemudahan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini mendedahkan terdapat 52 kes membabitkan lif dan 33 kes eskalator dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) antara tahun 2012 hingga September 2018.

Katanya, dalam tempoh itu, enam kes kematian, enam lagi membabitkan kecacatan kekal dan 58 kecederaan direkodkan.

“Kebanyakan kes berlaku akibat tahap penyelenggaraan yang lemah, penggunaan yang salah serta vandalisme. Dilaporkan terdapat lebih 60,0000 lif yang didaftarkan dengan JKKP di seluruh negara.

“Pemaju serta pemilik perumahan bertingkat termasuk PBT perlu memastikan lif yang beroperasi berdaftar dengan JKKP dan diperiksa setiap 15 bulan bagi memperbaharui Sijil Perakuan kelayakan mengguna (CF) kemudahan terbabit,” katanya.

Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu mengambil langkah proaktif berdasarkan peraturan yang ditetapkan tanpa menunggu berlakunya kemalangan.

Semalam, lapan cedera apabila lif yang mereka naiki di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi terhempas dari tingkat lima dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi, jam 2.30 petang.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari tingkat bawah tanah dan berhenti di tingkat lima apabila seorang daripada mereka keluar, sebelum lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.

Berita Harian X