Jumaat, 2 Ogos 2019 | 2:56pm
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ketika sidang media di Bangunan Dewan Negeri Selangor. - Foto Sairien Nafis

Tiada perbincangan politik dengan ADUN PKR - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar, Amirudin Shari menafikan pertemuan tertutup dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di negeri ini, malam tadi, untuk membincangkan isu semasa berkaitan politik.

Sebaliknya, Amirudin berkata, pertemuan itu diatur Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk memberi taklimat berhubung pelaksanaan Dasar Komuniti Negara di negeri ini.

“Saya tidak terbabit. Saya hanya hadir sekejap saja dan selepas itu saya keluar kerana ada urusan lain. Saya dengar Zuraida yang terbabit dalam pertemuan ini.

“Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) saya tidak termasuk dalam fasa 1 (Dasar Komuniti Negara), mungkin fasa seterusnya baru membabitkan kawasan saya,” katanya kepada media selepas menghadiri 10th University Scholars Leadership Symposium (USLS) di Seri Setia Convention Center (SACC) yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor mengadakan pertemuan dengan ADUN PKR negeri di kediaman rasmi Menteri Besar, malam tadi.

Antara yang hadir ialah Ketua Wanita PKR yang juga ADUN Taman Medan, Haniza Mohd Talha: ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Pelabuhan Klang, Azmizan Zaman Huri; ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah; ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Sebelum ini, Amirudin berkata, beliau tidak akan menandatangani dokumen bagi menyatakan sokongan terhadap Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sokongan semua pemimpin PKR negeri kepada Anwar sudah dibuktikan menerusi kemenangan tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti lalu.

Pada Ahad lalu, Amirudin turut tidak hadir mesyuarat kepemimpinan parti di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Selain Amirudin, pemimpin PKR lain yang tidak hadir ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Zuraida yang juga Naib Presiden dan Haniza.

Mohamed Azmin, Zuraida dan Amirudin turut tidak hadir pada Program Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 pada 20 Julai lalu di Port Dickson.

Berita Harian X